BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz,

 

Anak perempuan saya baru meninggal dunia pada 28 September 2022 yang lalu. Beliau berumur 24 tahun dan belum berkahwin. Bulan Ramadan tahun 2022, anak saya tidak dapat berpuasa selama sebulan kerana sakit kanser. Anak saya ada memberitahu saya bahawa dia ada lagi hutang puasa selama 10 hari merujuk kepada Ramadan sebelumnya. Semasa itu saya tidak sanggup bertanya lebih lanjut. Sepanjang anak saya sihat, beliau solat dan berpuasa. Saya beranggapan puasa yang belum sempat diganti adalah Ramadan tahun 2021. Saya juga ingin menggantikan puasanya selama 10 hari pada Ramadan 2020 kerana ingin anak saya bersih dari sebarang hutang puasa. Apakah yang perlu saya lakukan ustaz?

Untuk makluman ustaz, anak saya tidak sempat mengqada solatnya yang tertinggal atau kurang sempurna. Anak saya menghidap kanser di paru-paru dan otak, membuatkan beliau sukar untuk menguruskan diri sendiri. Sukar untuk berjalan dan perlu dipapah, boleh dikatakan terbaring di katil sahaja semasa sakitnya kuat. Ada masa waktu solat, anak saya sedang tidur. Ada masa bila anak saya sedar, saya mengambilkannya wuduk di atas katil dan anak saya solat walaupun tidak menghadap kiblat. Saya beritahu anak saya, apabila telah sihat nanti, qada semula solat yang tidak sempurna tetapi tidak sempat.

Sakit anak saya semakin kuat menyebabkan doktor melakukan pembedahan di bahagian kepala. Selepas pembedahan, doktor memberinya ubat tahan sakit, ubat tenang dan ubat tidur sehinggalah waktunya pulang ke Rahmatullah. Semoga Allah ampunkan dosa anak saya dan saya sebagai ibunya serta seisi keluarga kerana tidak mampu menguruskan solatnya dengan sempurna.

Apakah cara terbaik supaya Allah Taala dapat mengampunkan dosa anak saya dan kami sekeluarga ustaz. Saya juga ingin bertanya adakah kita boleh hadiahkan pahala selawat kepada Rasulullah saw kepada anak atau ibu bapa yang telah meninggal dunia? Bolehkan saya sebagai ibu memohon keampunan bagi pihak anak saya atas segala dosa-dosanya?

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, puan boleh menggantikan puasa arwah anak berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada 'Aisyah RA bahawa Nabi SAW bersabda;

من مات وعليه صيام صام عنه وليه

Maksudnya: “Barangsiapa yang meninggal dan mempunyai puasa (yang tertunggak), maka disempurnakan oleh walinya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Namun, bukanlah satu kewajipan ke atas puan untuk menggantikan puasa si mati. Sekiranya puan tidak melakukan qada' puasa tersebut, perlulah diambil daripada harta pusaka arwah anak dan dibayarkan fidyah mengikut hari puasa yang ditinggalkan oleh si mati. Jika si mati tiada harta maka dibolehkan untuk orang lain mengeluarkan hartanya bagi menyelesaikan hutang puasa si mati dalam bentuk fidyah. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA bahawa telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata: "Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya ibuku telah mati dan masih ada padanya baki puasa sebulan (yang belum diqadha’kan). Adakah aku perlu menggantikannya?". Jawab Nabi SAW;

فدين الله أحق أن يقضى

Maksudnya: “Adapun hutang Allah itu lebih berhak dilunaskan”. (Riwayat Abu Daud)

Berdoa adalah cara terbaik memohon keampuanan Allah. Apatah lagi ibu bapa kepada anaknya. Sesungguhnya doa kedua ibu bapa kepada anaknya amat mustajab. Terdapat dalil bagi keharusan bahkan suatu kebaikan memohon keampunan kepada orang lain, apatah lagi kepada kaum kerabat sendiri seperti seorang ibu kepada anaknya;

1) Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 10;

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ

Maksudnya: "Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman" 

2) Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 41;

رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لِی وَلِوَ ٰ⁠لِدَیَّ وَلِلۡمُؤۡمِنِینَ یَوۡمَ یَقُومُ ٱلۡحِسَابُ

Maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan"

Bukan setakat pahala selawat, bahkan pahala apa pun ibadah atau kebajikan boleh dihadiahkan kepada arwah seperti membaca Al-Quran, sedekah dan sebagainya.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 162

message user image