BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualikum. Saya hendak bertanya tentang isu najis. Saya seorang pelajar universiti dan tinggal di rumah sewa berdekatan universiti saya. Di kawasan universiti dan rumah sewa saya terdapat banyak anjing liar berkeliaran. Beberapa hari lalu, ketika saya berjalan kaki untuk ke universiti saya, apabila berjalan di atas rumput, saya hampir-hampir sahaja terpijak najis haiwan. Saya beranggapan itu najis anjing oleh kerana kebiasaannya terdapat banyak anjing dikawasan tersebut dan oleh kerana saiz najis yang kelihatan lebih besar berbanding najis kucing. Kasut saya pada masa itu lebih kurang beberapa cm sahaja sebelum mengenai najis tersebut. Akan tetapi apabila saya melihat kasut saya, tiada najis yang terkena. Oleh itu saya berpendapat bahawa kasut saya tidak terkena najis itu dan membuat keputusan untuk membiarkan sahaja. Tetapi oleh kerana saya seorang yang mudah berasa was was dan merasa gelisah, beberapa persoalan kerap berulang difikiran saya. Soalan tersebut adalah:

1. Adakah saya bermungkinan terpijak kencing najis kerana saya pijak rumput berdekatan najis tersebut. 

2. Pada waktu itu, terdapat banyak lalat berterbangan di atas najis tersebut. Saya tidak pasti jika apabila saya pijak berdekatan najis tersebut, lalat itu mungkin hinggap di atas kasut atau hujung seluar saya. Saya risau jika lalat itu terdapat najis anjing tersebut dan terkena pada saya. 

Oleh kerana perkara tersebut tidak jelas, saya cuba untuk tidak mengendahkannya. Akan tetapi saya tetap berasa gelisah dari semasa ke semasa. Oleh itu apa yang perlu saya lakukan? Adakah saya perlu melakukan proses sertu? Saya takut jika betul terdapat najis, kemudian najis itu berpindah2 kerana najis berat seperti najis anjing adalah sukar untuk disucikan terutama sekali kerana kesukaran untuk mencari tanah dirumah sewa saya.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapat najis sama ada dari segi ain, warna atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila ia jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. 

Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau sangkaan sahaja, maka ia kembali kepada kaedah fiqah menyatakan: 

الأصل في الأشياء الطهارة

Maksudnya : "Hukum asal segala sesuatu adalah suci". Ini kerana pada asalnya, hukum setiap sesuatu itu adalah suci sehingga terbukti adanya najis dengan kehadiran salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Kaedah fiqah yang lain juga ada menyatakan bahawa:

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: "Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan".  Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak perlu disertu. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya tidak perlu disertu dan hanya perlu dibersihkan seperti biasa sahaja.

Oleh itu, merujuk kepada persoalan puan;

1. Tidak boleh menganggap puan berkemungkinan terpijak kencing najis kerana puan pijak rumput berdekatan najis tersebut tanpa meyakini kasut puan telah terkena ain najis tersebut. Lebih-lebih lagi telah dinyatakan bahawa kasut puan tiada kesan najis.

2. Berpegang kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu seperti bau, rasa dan warnanya, maka tiada najis pada seluar atau kasut sekalipun lalat yang berterbangan dikawasan najis tersebut hinggap pada seluar atau kasut puan.

3. Tidak perlu sertu semula sama ada seluar atau kasut yang telah diyakini tidak terkena najis kerana pada asalnya seluar atau kasut tersebut tidak bernajis atas sebab perasaan was-was dan tidak pasti wujudnya najis. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 404

message user image