Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
assalamualaikum....
saya telah di ceraikan oleh suami saya dengan meletakkan kan sesuatu tarikh pada malam tarikh jatuh talak itu...saya dan suami tengah bersetubuh saya dalam keadaan masih haid belum mandi wajib lagi..apakah status saya dan suami.
terima kasih..
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Terdapat beberapa isu dalam persoalan puan di atas :
1. Bersetubuh dengan isteri ketika haid adalah haram berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 222 :
وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.
Oleh itu, suami hendaklah menahan diri ketika tempoh yang dilarang daripada melakukan persetubuhan.
2. Talak yang dilafazkan oleh suami kepada isterinya ketika haid adalah sah dan sabit jatuhnya talak, namun hukumnya adalah haram dan berdosa. Talak dalam keadaan ini dinamakan talak bid’i. Ia dihukumkan haram kerana bertentangan dengan bentuk talak yang disyariatkan dan memanjangkan tempoh iddah bagi wanita.
3. Haram hukumnya bersetubuh dalam keadaan rujuk belum berlaku bagi mereka yang telah bercerai. Bersetubuh itu juga tidak dianggap sebagai rujuk. Kata Imam Al-Nawawi dalam Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab berkaitan bersetubuh ketika dalam tempoh iddah:
فأما إذا وطئها أو قبلها أو لمسها فلا يكون ذلك رجعة، سواء نوى به الرجعة أو لم ينو
Maksudnya: Sekiranya seseorang lelaki itu menyetubuhi isterinya dalam tempoh iddah raj’i, menciumnya, atau menyentuhnya, maka yang demikian itu tidak berlaku padanya rujuk, sama ada dia melakukannya dengan niat rujuk atau pun tidak.
Berkaitan dengan lafaz cerai sebagaimana yang dinyatakan dalam pertanyaan puan, puan atau suami hendaklah merujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
والله أعلم بالصواب