Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam,
1. Apakah hukum seorang isteri yang memburukkan suami kepada anak, adik-beradiknya, iparnya dengan tujuan untuk mendapat simpati dan sokongan dari orang lain dan memastikan anak2nya membenci ayahnya?
2. Jika contohnya satu keluarga telah bercerai dan anak-anak mengikut ibunya, adakah betul ayah wajib memberi nafkah anak2nya sehingga berumur 21 tahun?
3. Sekiranya seorang isteri tidur tidak sebilik dengan suaminya dalam rumah yang sama selama lebih 1 minggu, dengan berbagai alasan contohnya dengan berkata ia tidak mencintai suaminya, adakah dikategorikan sebagai nusyuz?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
1. Islam amat menitikberatkan kedamaian, kesejahteraan dan keharmonian, lebih-lebih lagi dalam sebuah institusi kekeluargaan. Islam melarang umatnya bersikap suka memburukan orang lain. Sebagaimana hadis dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda :
إِذَا قَالَ الرَّجُلُ هَلَكَ النَّاسُ فَهُوَ أَهْلَكُهُمْ
Maksudnya: Apabila ada seseorang yang berkata; ‘Celakalah manusia’, maka sebenarnya ia sendiri yang lebih celaka dari mereka. (Riwayat Muslim)
Oleh yang demikian, memburuk-burukan orang lain adalah suatu perbuatan yang dilarang oleh Islam, walaupun dengan apa niat sekali pun. Ini kerana sikap sedemikan akan membawa kepada kemudaratan yang besar seperti perbalahan, perselisihan faham dan pergaduhan dan sesungguhnya Islam mengajarkan kepada kita bahawa bahawa matlamat tidak menghalalkan cara.
2. Apabila berlakunya perceraian, walaupun hak penjagaan anak diperolehi oleh pihak isteri atau ibu kepada anak-anak tersebut, bapa tetap berkewajipan memberikan nafkah kepada anak-anak tersebut dan secara umumnya perintah nafkah anak berkuatkuasa sehingga anak berusia 18 tahun melainkan diperintah sebaliknya oleh Mahkamah. Adapun bagi anak perempuan, perintah nafkah tersebut berkuat kuasa selagi belum berkahwin.
3. Nusyuz secara umumnya bermaksud penderhakaan atau pengabaian tanggungjawab sama ada di pihak suami atau isteri tanpa alasan munasabah yang bersesuaian dengan kehendak syarak. Isteri yang nusyuz ialah isteri yang menderhakai suaminya dan suami yang nusyuz pula ialah suami yang menzalimi atau menganiayai isterinya. Dalam konteks kekeluargaan Islam, isteri wajib taat kepada perintah suaminya selagimana perintah suami tersebut tidak bercanggah dengan syarak. Oleh yang demikian, sekiranya isteri ingkar atau mengabaikan tanggungjawabnya kepada suami, maka ia boleh membawa kepada nusyuz kepada suaminya.
والله أعلم بالصواب