Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalam.Kehadapan pihak Jabatan Mufti yang dihormati. Boleh tolong jelaskan 2 soalan di bawah yang secara ringkas untuk saya. Maklum balas yang diberikan amat2 dihargai.
1. Hukum menyimpan patung adalah haram, dari segi berbentuk manusia dan haiwan yang lengkap. Tapi bagaimana dengan bentuk haiwan2 comel dan figurin kartun yang tidak menjolok mata dan bersaiz kecil yang dijadikan keychain dan digantung di beg ataupun kunci bagi orang dewasa? Adakah dibolehkan atau tetap haram?
2. Hukum membunuh diri adalah haram. Tapi bagaimana pula sekiranya jika seseorang itu terjun ke sungai dengan niat menyelamatkan seseorang walaupun beliau tahu beliau tidak pandai berenang, ataupun masuk ke dalam rumah yang sedang terbakar untuk menyelamatkan barang tanpa mengetahui dia akan selamat keluar ataupun tidak dan kemudiannya meninggal dunia dalam keadaan tersebut. Adakah dikira seperti membunuh diri juga?
Sekian terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
1. Memiliki patung-patung kecil sebagai permainan ada keharusan, jika ia tidak ditaqdiskan yakni diagungkan atau dimuliakan dan ia tidak membawa kepada pembaziran. Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Aisyah RA:
كُنْتُ أَلْعَبُ بِالْبَنَاتِ عِنْدَ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – وَكَانَ لِى صَوَاحِبُ يَلْعَبْنَ مَعِى ، فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – إِذَا دَخَلَ يَتَقَمَّعْنَ مِنْهُ ، فَيُسَرِّبُهُنَّ إِلَىَّ فَيَلْعَبْنَ مَعِى
Maksudnya: “Aku pernah bermain patung permainan ketika tinggal bersama Nabi SAW, sedangkan aku memiliki beberapa sahabat yang biasa bermain bersamaku. Maka, ketika Rasulullah SAW masuk dalam rumah, sahabat-sahabat aku itu pun bersembunyi dari Baginda. Lalu Baginda menyerahkan mainan padaku satu demi satu lantas mereka pun bermain bersamaku”. (Riwayat Imam al-Bukhari)
Patung permainan kanak-kanak yang kecil dan yang tidak diagungkan dan dimuliakan, yang mana patung itu ada kalanya dilempar, dileraikan anggota patung mainan tersebut dan sebagainya, ia hanya dianggap sekadar barang permainan kanak-kanak, maka dibolehkan dengan syarat ia bukan patung yang besar dan hanyalah semata-mata patung kanak-kanak.
Walaupun begitu, adalah digalakkan supaya ia dielakkan agar tidak menimbulkan perkara yang boleh membawa kepada perasaan-perasaan pemujaan dan sebagainya dalam hati kita. Jika kita dapat mengelakkan diri daripada sebarang bentuk syubhah adalah sangat digalakkan, sebagaimana kaedah fekah menyebutkan :
الْخُرُوجُ مِنَ الْخِلاَفِ مُسْتَحَبٌّ
Maksudnya: “Keluar dari perkara khilaf adalah digalakkan.”
2. Menyelamatkan seseorang yang tenggelam di dalam sungai atau sebagainya adalah wajib bagi yang berkemampuan untuk melakukannya. Namun seandainya dia tidak berkemampuan untuk melakukannya seperti tidak tahu berenang dan mempunyai sangkaan yang kuat akan menyebabkan kemudharatan terhadap dirinya seperti turut lemas jika masuk ke dalam sungai, maka hukumnya adalah haram baginya berenang masuk ke dalam sungai untuk menyelamatkan mangsa. Walaupun begitu, dia boleh berusaha menggunakan kaedah lain untuk menyelamatkan mangsa yang tidak memerlukannya berenang ke dalam sungai tersebut. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 195 :
وَلا تُلقوا بِأَيديكُم إِلَى التَّهلُكَةِ ۛ
Maksudnya: "Dan jangan kamu campakkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri ke dalam jurang kebinasaan".
والله أعلم بالصواب