BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya nak bertanya berkenaan dengan insurans haiwan. Memandangkan kebanyakkan orang memiliki haiwan peliharaan seperti kucing, burung, dan sebagainya. Adakah dibenarkan untuk mengambil insurans haiwan. Memandangkan kos serta akses perubatan haiwan yang agak mahal berbanding manusia, ramai kini yang mengambil insurans haiwan untuk haiwan peliharaan mereka. Saya juga jelas bahawa insurans konvensional am dan nyawa adalah haram untuk diambil oleh muslim memandangkan terdapat unsur gharar. Namun, saya perlukan penjelasan dari segi hukum insurans haiwan memandangkan ia adalah untuk kegunaan haiwan sahaja dan bukan secara langsung untuk kegunaan manusia seperti kereta rumah dsbg serta ketiadaan takaful untuk haiwan yang ditawarkan buat masa sekarang.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang dibangkitkan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MJFK) telah memutuskan hukum dalam beberapa siri persidangan yang membahaskan status insurans konvensional. Secara umumnya semua jenis insurans konvensional adalah HARAM disebabkan mempunyai unsur-unsur:

  1. Mengandungi gharar (ketidak-tentuan)
  2. Mengandungi unsur judi.
  3. Mengandungi muamalah riba.

Hukum berkenaan insurans konvensional sama ada insurans nyawa mahupun insurans am seperti kereta, rumah, motosikal dan sebagainya adalah haram. ‘Matlamat tidak menghalalkan cara’ melainkan dalam keadaan terdesak dan darurat yang diiktiraf oleh Syarak berdasarkan syarat-syarat tertentu. Penetapan ini ditetapan oleh Allah SWT berdasarkan firman-Nya dalam surah al-An’am ayat 119:

وَقَدْ فَصَّلَ لَكُم مَّا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ إِلَّا مَا اضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ

Maksudnya: Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkan- Nya atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya?

Melihat kepada situasi tuan, masih tidak dianggap darurat sehingga terpaksa mencarum insurans konvensional bagi kebajikan haiwan peliharaan disebabkan masih belum wujud skim takaful haiwan. Walaupun penerima manfaat adalah haiwan tetapi membayar wang caruman setiap bulan atau secara penuh (lumsump) tetap dianggap sebagai bertolong-tolongan dalam urusan maksiat (dosa) dan ini tidak dibenarkan. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam membuat kebajikan dan ketakwaan. Janganlah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Berbuat baik kepada haiwan sememangnya dituntut dalam Islam sehingga kita pernah mendengar bagaimana pelacur diampunkan dosanya oleh Allah SWT disebabkan memberi minum kepada anjing yang dahaga. Namun Islam mengajarkan kesederhanaan dan berpada dalam semua hal, berkebajikan kepada haiwan sehingga melanggar batas halal dan haram ia adalah sesuatu yang sangat tidak sepatutnya berlaku. Wang caruman kepada insurans itu sebaiknya digunakan sebagai simpanan atau tabungan sendiri untuk manfaat serta kebajikan haiwan tersebut.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 175

message user image