Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya ingin menanyakan soalan bagaimana bagi mereka yang sentiasa berhadas untuk melakukan solat berjemaah dan solat jumaat yang mempunyai khutbah di masjid. Saya mempunyai kencing tidak lawas dan pendarahan buasir dan ingin melakukan solat jumaat, saya sentiasa membalut bahagian depan dan melapik bahagian belakang dengan tisu jika saya melakukan solat di rumah.
Apakah yang perlu saya lakukan untuk mengekalkan wudhuk saya pada solat jumaat di masjid yang mempunyai khutbah:
1. Adakah saya perlu mengambil wudhuk terlebih dahulu dan duduk mendengar khutbah sehingga melakukan solat;
2. Adakah saya perlu mendengar khutbah terlebih dahulu dan mengambil wudhuk ketika separuh dari khutbah sebelum bermulanya solat;
3. Adakah saya perlu duduk mendengar khutbah sehingga habis dan mengambil wudhuk ketika orang ramai sedang melakukan solat dan masuk solat lambat dari imam dan makmum yang lain.
4. Atau cara lain yang lebih baik untuk mengekalkan wudhuk saya.
Saya sudah cari di mana-mana sumber yang ada mengenai masalah saya dan tidak dapat jawapan spesifik untuk menyelesaikan dan menjawab masalah saya.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد Semoga tuan/puan sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan. Merujuk kepada persoalan, keadaan bagi seseorang yang salisil baul iaitu kencing tidak lawas menurut pandangan para fuqaha' adalah mengambil hukum istihadhah (keluar darah) bagi perempuan. Mereka ini dikategorikan sebagai golongan yang ‘uzur’ dalam erti kata yang lainnya terdapat hukum yang khusus buat golongan ini dalam bab taharah dan ia termasuk dalam perbincangan keadaan seseorang yang daimul hadas iaitu sentiasa berhadas. Maka bagi keadaan sebegini, pesakit perlu merujuk kaedah berikut dalam pelaksanaan ibadah solat: a) Sucikan diri daripada najis dan gunakan lampin atau seumpamanya pada tempat keluar najis. b) Setelah itu sucikan diri daripada hadas dengan mengambil wudhu’ atau mandi wajib. Kedua-duanya mesti dilakukan setelah masuk waktu solat. c) Segera tunaikan solat. Solat adalah sah dan tidak perlu diulang walau pun najis tetap keluar ketika sedang berwudhu` dan solat. d) Satu wudhu` hanya boleh digunakan untuk satu solat fardhu sahaja dan seberapa banyak ibadah sunat yang lain. e) Ketika mengambil wudhu` hendaklah ia berniat untuk mengharuskan solat, bacaan al-Quran atau ibadah-ibadah lain yang mensyaratkan wudhu`. Contohnya; ia meniatkan di dalam hati; “Sahaja aku mengambil wudhu` untuk solat kerana Allah Taala”. Tidak harus semasa mengambil wudhu` ia berniat untuk mengangkat hadas kerana hadasnya tidak akan terangkat selama air kencing sentiasa mengalir keluar dari kemaluannya kerana perkara tersebut membatalkan wudhu`. Begitu juga hal keadaan bagi penyakit buasir, sekiranya darah buasir keluar dari bahagian dalam dubur dan bukan secara berterusan, maka hal tersebut boleh membatalkan wudhu` dan menyebabkan solatnya terbatal. Adapun sekiranya darah buasir keluar secara berterusan, maka ia mengambil hukum orang yang sentiasa berhadas. Justeru dia perlu mengambil wudhu` setiap kali hendak mengerjakan solat dan membalut tempat keluar darah. Hukum solatnya sah dan tidak perlu mengulanginya sekalipun darah masih keluar semasa mengerjakan solat. Bagi situasi pelaksanaan ibadah solat Jumaat pula, seseorang yang mengalami masalah ini perlu menunggu sehingga masuknya waktu Zohor. Setelah itu, hendaklah dia terlebih dahulu membasuh atau mensucikan dahulu najis (air kencing dan darah) yang ada lalu menutup atau membalut tempat keluar najis tersebut. Selepas itu, baharulah dia mengambil wudhu`. Setelah itu, harus baginya solat sunat, mendengar khutbah dan solat fardhu Jumaat dengan wudhu'nya itu. Jika keluar air kencing atau darah buasir (hal secara berterusan) sebelum mendirikan solat seperti ketika mendengar khutbah, maka perkara tersebut adalah dimaafkan. والله أعلم بالصواب |