Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz. Saya merupakan penghantar makanan dan terlibat dalam penghantaran makanan non halal. Jadi ustaz, beberapa bulan/tahun lepas saya pernah menghantar makanan non halal kepada pelanggan dan makanan tersebut bukanlah babi tetapi shark fin soup. Sewaktu penghantaran dan menyerahkan makanan tersebut kepada pelanggan, saya dapati terdapat bau makanan tersebut di jari saya. Tetapi, saya memegang bungkusan plastik diluar sahaja dan seingat saya, tangan saya dalam keadaan kering ketika menyentuh plastik tersebut. Cuma saya ragu ragu adakah saya tersentuh sisa sup/makanan di luar plastik tanpa saya perasan atau itu hanyalah bau makanan yang melekat di plastik bungkusan sahaja. Saya tidak dapat memastikannya kerana kejadian ini telah lama berlaku. Persoalan saya ustaz, adakah saya perlu menyertu tangan saya? Dan jika perlu, bagaimana dengan barangan barangan yang saya sentuh selama ini. Adakah perlu disertu juga? Mohon pencerahan ustaz.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapat najis sama ada dari segi ain, warna atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila ia jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna.
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan , kotak/bekas/bungkusan makanan yang sampai kepada tuan tidak perlu untuk samak/sertu. Ini kerana asal kepada sesuatu yang bersih itu kekal dianggap suci sehingga terbukti secara yakin ia telah dicemari oleh najis. Ini berdasarkan kepada kaedah fiqah: Manakala shark fin soup ini hakikatnya tidaklah najis.
الأصل في الأشياء الطهارة
Maksudnya : "Hukum asal segala sesuatu adalah suci". Ini kerana pada asalnya, hukum sesuatu itu adalah suci sehingga terbukti adanya najis dengan dihadiri salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Kaedah fiqh yang lain juga ada menyatakan bahawa:
اليقين لا يزول بالشك
Maksudnya: "Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan". Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak perlu disertu. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya tidak perlu disertu dan hanya perlu dibersihkan seperti biasa sahaja.
Proses sertu hanya dilakukan jika terkena najis yang melibatkan anjing atau babi. Selain dari itu, maka ia cukup sekadar membersihkan atau dibasuh dengan air mutlak.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.