BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

saya ingin bertanya tentang azimah dan rukshah. soalan pertama saya adalah apakah definisi azimah dan apa pula definisi rukhsah. soalan kedua saya pula apakah jenis-jenis azimah dan rukhsah. harap solan saya dapat dijawab oleh pihak tuan/puan. terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Pada asasnya, prinsip Syariah ditetapkan kepada manusia yang ditaklifkan sebagai khalifah Allah. Pensyariatan yang ditetapkan Allah kepada hamba-Nya untuk memberi rahmat dan kesejahteraan hidup kepada manusia secara keseluruhannya. Tuntutan syarak ini adalah perkara yang akan dipertanggungjawabkan untuk menunaikannya dalam apa jua keadaan sekalipun. Namun begitu, Allah tidak akan membebankan hamba-Nya yang berada dalam keadaan kesulitan dengan memberi kemaslahatan dalam menjalankan pensyariatan yang ditetapkan. Penjelasan mengenai perkara ini berkaitan dengan istilah yang dikenali sebagai ‘azimah (عزيمة) dan rukhsah (رخصة).

Merujuk kepada soalan Puan, perbahasan tentang ‘azimah dan rukhsah akan diasingkan seperti berikut bagi memudahkan lagi kefahaman tentang perbezaan dua perkara tersebut:

‘Azimah

‘Azimah dari segi bahasa adalah tekad yang kuat (al-Mustasfa). Di dalam Al-Quran dalam surah Thaha ayat 115, perkataan 'azmu, iaitu kata akar bagi 'azimah, disebutkan bagi menunjukkan erti kemahuan yang kuat:

وَلَقَدْ عَهِدْنَا إِلَى آدَمَ مِنْ قَبْلُ فَنَسِيَ وَلَمْ نَجِدْ لَهُ عَزْمًا

Maksudnya: Maka ia lupa (akan perintah itu), dan Kami tidak mendapati padanya kemahuan yang kuat ('azmu)”                    

Manakala dalam istilah Fiqh, 'azimah adalah apa yang telah disyariatkan atau diwajibkan oleh Allah kepada hamba-Nya pada keadaan biasa (al-Mausuah al-al-Fiqhiah al-Kuwaitiyah 17/169).

Rukhsah

Rukhsah dari segi bahasa adalah kemudahan dan keringanan. Manakala dari segi istilah pula rukhsah adalah suatu ketetapan hukum yang disyariatkan disebabkan satu keuzuran dan kesusahan (masyaqqah) yang dihadapi oleh hamba-Nya (al-Mausuah al-al-Fiqhiah al-Kuwaitiyah 17/169). Antara contoh rukhsah ialah keharusan mengqasarkan solat fardhu empat rakaat kepada dua rakaat sewaktu bermusafir, keharusan bertayammum sebagai ganti kepada wudhu ketika ketiadaan air dan diharuskan tidak berpuasa bagi orang yang bermusafir seperti firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 184:

أَیَّامࣰا مَّعۡدُودَ ٰ⁠تࣲۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِیضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرࣲ فَعِدَّةࣱ مِّنۡ أَیَّامٍ أُخَرَۚ

Maksudnya: (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain..

Terdapat beberapa jenis keringanan (rukhsah) yang disyariatkan apabila berlakunya kesusahan (masyaqqah) [al-Suyuti (1505M) al-Ashbah wa al-Naza’ir (82)]

  1. Keringanan yang menggugurkan kewajipan (takhfif isqat), seperti gugurnya kewajipan menunaikan haji dan umrah kerana uzur.
  2. Keringanan yang mengurangkan (takhfif tanqis), seperti mengqasarkan sembahyang ketika bermusafir.
  3. Keringanan untuk menggantikan (takhfif ibdal), seperti bertayammum bagi menggantikan wuduk kerana ketiadaan air.
  4. Keringanan boleh mendahulukan (takhfif taqdim), seperti mendirikan solat Asar pada waktu Zohor atau solat Maghrib pada waktu Isyak semasa bermusafir.
  5. Keringanan boleh menta’khirkan (takhfif ta’khir), seperti mendirikan solat Zohor pada waktu Asar dan Solat Maghrib pada waktu Isyak semasa bermusafir.  
  6. Keringanan boleh mengubah cara (takhfif taghyir) seperti solat Khauf ketika di dalam peperangan. 

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan dari soalan puan, hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagai suatu kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh hamba-Nya dalam keadaan atau situasi biasa dikenali sebagai ‘azimah dan rukhsah pula adalah ketetapan hukum yang telah diberi keringanan atau kelonggaran oleh Allah SWT berikutan terdapat keuzuran atau kesusahan (masyaqqah). 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 1018

message user image