BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz..sy ada soalan yg masih belum terjawab..jadi mufti ada lah tmpat soalan yg tepat untuk sy tnya..sy harap masalah sy terjawab.adakah dosa mengumpat/ghibah akan terpadam jika kita bertaubat dan tidak akan mengulangi nya lagi..dgn melakukan solat taubat nasuha..dlm Al-Quran dan ceramah2 agama ada menceritakan..tpi masih tak terjawab..Allah mengatakan dlm Al-Quran jika kita bertaubat kpda Allah..Allah akan menghapus kan semua dosa walaupun sebanyak buih dilautan..jika kita mengulanginya lagi dosa dan bertaubat..Allah akan trima taubat hambanya..sesunggunya Allah maha pengampun..disini banyak ceramah2 mengatakan dosa mengumpat tidak akan terhapus jika sesama manusia walaupun dgn melakukan solat taubat..mesti di selesaikan dgn meminta maaf..jika org yg fitnah/ghibah sudah tiada..kita perlu memuji2 kebaikan org org yg fitnah membersihkan nama nya..dan bersedekah dgn niat kepada org yg fitnah/ghibah..berbanyak kan istifar..

Di sini solan sy..Allah ada menyebut jika kita bertaubat dgn bersungguh2 dan tidak akan mengulangi nya lagi..Allah akan trima taubat dan mengapus kan smua dosa walaupun sebanyak buih di lautan..jika kita berbalik kpda Allah..tpi knapa dosa dgn manusia tak terhapus..sedang Allah mengatakan jika kita taubat Allah trima dan smua dosa diampunkan..dlm fahaman sy jika diampunkan dosa lampau 0..tpi dgn manusia masih ada dosa..jadi mcm mna jika x sempat meminta maaf dan x jmpa org tersebut..jika kita meningal kelak tapi kita sempat bertaubat dan x mengulangi nya lagi..adakah dgn syafaat Allah yg menilai dan membantu kita nanti..sy tahu Allah mengetahui..

Sy tahu fitnah/ghibah boleh buat kita muflis di akhirat/amalan kita akan diambil dan bagi kepada org tersebut..sy faham semua tu..tpi mcm mna nk selesai masalah tersebut..

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, Islam merupakan agama yang amat menjaga kehormatan dan kemuliaan sesama insan. Justeru itu, Islam mengharamkan perkara-perkara yang boleh mencalarkan atau merosakkan maruah seseorang termasuk mengumpat. Allah SWT memberikan satu perumpamaan yang dahsyat kepada golongan yang gemar mengumpat ini sepertimana dalam firman Allah SWT Surah Al-Hujurat ayat 12:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Menurut Imam Al-Nawawi rahimahullah dalam kitabnya al-Azkar, menerangkan bahawa dosa mengumpat ini melibatkan hak Allah SWT dan hak manusia. Allah SWT di dalam ayat di atas memberi peringatan kepada hamba-Nya untuk menyedari dan memperbetul keadaan dan kesalahan jika melakukannya.Oleh itu, langkah untuk mensucikan diri daripada dosa mengumpat terutama kepada dua hak ini adalah suatu perkara yang perlu difahami dan diusahakan agar diri tidak terjerumus dalam dosa mengumpat ini lagi iaitu melalui:

1-Dari segi hak Allah SWT:

Dalam menebus dosa mengumpat ini, memohon taubat daripada Allah SWT atas dosa yag dilakukan adalah satu perkara yang utama dan wajib bagi setiap individu atas dosa yang disedari dan tidak disedari. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Al-Tahrim ayat 8:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ ۖ نُورُهُمْ يَسْعَىٰ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksud: Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan 'Taubat Nasuha'. Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia, sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Wahai Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu".

Disyaratkan bagi orang yang bertaubat daripada dosa mengumpat ini memenuhi hak Allah SWT melalui taubat dengan  3 syarat (i) untuk meninggalkan dosa tersebut,  (ii) menyesali perbuatan doasanya dan  (iii) berazam untuk tidak melakukannya lagi.

2-Dari segi hak manusia:

Namun begitu, perlu diketahui bahawa dosa mengumpat ini bukan pada hak Allah SWT sahaja malah ia melibatkan hak manusia. Hal ini dapat difahami daripada penyataan Baginda Nabi SAW di dalam sebuah hadis tentang keadaan dan akibat bagi manusia yang melakukan kezaliman terhadap manusia ketika di hari akhirat kelak. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

رَحِمَ اللَّهُ عَبْدًا كَانَتْ لأَخِيهِ عِنْدَهُ مَظْلَمَةٌ فِي عِرْضٍ أَوْ مَالٍ فَجَاءَهُ فَاسْتَحَلَّهُ قَبْلَ أَنْ يُؤْخَذَ وَلَيْسَ ثَمَّ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ فَإِنْ كَانَتْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ حَسَنَاتِهِ وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ حَمَّلُوا عَلَيْهِ مِنْ سَيِّئَاتِهِمْ

Maksud: Barangsiapa yang menanggung kezaliman yang dilakukan ke atas orang lain, sama ada mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara lain (mengambil harta orang lain) maka bersegeralah untuk meminta keampunan sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya, bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal soleh, akan diambil daripada amalnya itu dan diberikan kepada orang itu, kalau ia pula tidak mempunyai amal soleh, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya. (Riwayat Al-Tirmidzi)

Imam Al-Nawawi dalam kitab Al-Azkar dan Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulum Al-Din menjelaskan lagi syarat taubat ini, bagi mereka yang hendak membersihkan diri daripada dosa mengumpat hendaklah mereka mengembalikan semula hak atas kezaliman yang dilakukan, meminta ampun dan meminta pembebasan daripada pemiliknya. Adapun jika tidak dimaafkan oleh pemiliknya maka teruskan berusaha memohon ampun kepadanya moga-moga memperoleh kemaafan dari orang tersebut.

Manakala, tentang persoalan perlu atau tidak menerangkan tentang perkara yang diumpat kepada orang yang diumpati, Imam Al-Nawawi menerangkan para ulama berselisih pendapat dalam hal ini;

  1. Sebahagian ulama mengatakan seseorang itu perlu menjelaskan perkara yang diumpati dan,
  2. Sebahagian ulama seperti imam Ibn Qayyim dan selainnya mengatakan seseorang itu tidak perlu menjelaskan perkara yang diumpatkan tersebut, cukup hanya memohon maaf sahaja kepadanya dan menyebut kebaikan-kebaikannya.

Walaubagaimanapun, jika didapati mudarat lebih besar jika menyebutkan perkara tersebut maka tidak perlu menjelaskannya adalah lebih baik. Jika orang yang diumpati itu telah meninggal dunia atau tiada, maka tidak mungkin untuk mendapatkan pelepasan daripadanya, Oleh itu para ulama berpendapat: Hendaklah (orang yang mengaku bersalah ini) memohonkan ampun untuknya, berdoa, dan banyak memperbanyak berbuat amalan kebaikan. Sesungguhnya amalan kebaikan tersebut akan menghapuskan keburukan dosa yang telah dilakukan. Sepertimana firman Allah SWT dalam Surah Hud ayat 114:

إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ۚ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.

Apa yang boleh lakukan juga adalah dengan menghadiahkan pahala seperti bacaan Al-Quran, sedekah dan sebagainya kepada orang yang dizalimi atau diumpat. Mudah-mudahan, dengan izin Allah, ia dapat menebus kesalahan atau dosa yang dilakukan

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 1448

message user image