BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalammualaikum.

 

Saya ingin bertanya, apa hukumnya jika anak lelaki saya yang berusia setahun lebih telah membuang air besar pada pampers dan pampers berkenaan telah bocor lalu terkena kepada carseat yang anak saya duduk. Najis berkenaan telah terkena pada tali pinggang keselamatan yang diletakkan sekali pada carseat tersebut.

Selepas menyedari, saya terus membuang najis tersebut dengan menggunakan wet tissue (yang tidak mengandungi bahan lain kecuali air) sehingga diyakini bersih. Adakah ianya dikira suci atau tidak?

 

Bagaimana pulak jika saya membersihkan air kencing yang terkena carseat tersebut yang susah untuk dibersihkan dengan menggunakan wet tissue tersebut sehingga diyakini bersih? 
 

Mohon pencerahan bagi kedua situasi ini. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

عليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Berdasarkan kenyataan puan berikan, carseat tersebut dihukumkan masih tidak suci (mutannajis). Ini adalah kerana wet tissue itu hanya menghilangkan ain najis sahaja, tapi tidak mensucikannya. Kaedah mensucikan najis mutawassitah, seperti tahi manusia, adalah dengan membersihkan atau membuang ain najis tersebut terlebih dahulu kemudian mengalirkan air mutlak di kawasan yang terkena najis sehingga hilang bau, warna dan rasanya. 

Oleh itu, antara cadangan mensucikan carseat yang terkena najis adalah dengan membuang ain najis itu menggunakan wet tissue sehingga hilang kesan najis tersebut, kemudian siram, atau alirkan air mutlak, atau spray hingga air kelihatan mengalir di kawasan yang terkena najis lalu keringkannya dengan menggunakan tuala kering atau vakum penyedut air (wet vacuum cleaner). Pastikan tiada lagi kesan ain najis seperti bau, warna dan rasa.

Penggunaan wet tissue semata-mata dalam membersihkan najis tidak menepati kaedah bersuci yang sebenarnya mengikut Syarak. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 146

message user image