BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya ingin bertanya apakah status barang yang dibeli secara ansuran yang mengandungi unsur riba? Adakah barang tersebut haram digunakan? Contohnya, saya membeli telefon secara ansuran menggunakan sebuah aplikasi paylater dan di dalam pensyaratan ansuran tersebut, saya akan dikenakan denda jika lewat bayar. Saya tahu caj lewat bayar ini adalah haram tetapi bagaimana dengan barang yang saya beli tersebut? Adakah haram digunakan? Mohon penjelasan nya ustaz.


message user image

Jawapan  

عَلَيْكُمْ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Secara umumnya pembelian secara ansuran yang mengandungi riba tidak menjadikan barang yang dibeli itu menjadi haram, selagi barang yang dibeli itu adalah barang yang harus diambil manfaat daripadanya. Apa yang diharamkan adalah proses jualbeli yang melibatkan riba itu sahaja. Ini disebut dengan jelas oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275:

 وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا 

Maknanya: Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

Oleh itu, anda boleh mengambil manfaat daripada barangan yang dibeli itu, namun pada masa yang sama mohonlah keampunan daripada Allah SWT atas kesilapan yang telah dilakukan kerana riba adalah perbuatan yang diharamkan oleh Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 279:

فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ

Maknanya: Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 173

message user image