Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya mahu bertanya. Kedudukan isteri ketika solat berjemaah bersama suami. Saya ada sediakan bilik khas untuk solat. Namun biliknya kecil. Saya ada terbaca kedudukan isteri ketika solat adalah di belakang suami. Saya juga ada terbaca jika tempat itu sempit, maka dibolehkan.
Soalan saya, adakah saya masih boleh mengunakan bilik khas itu? Atau saya perlu solat di tempat lain yang luas sedikit ( ruang tamu ). Dan jika masih boleh gunakan bilik sempit itu, dimanakah kedudukan isteri yang seeloknya? Kanan atau kiri imam.
Terima kasih. Assalamualaikum.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد
Solat berjemaah adalah ibadah yang sangat dituntut di dalam Islam bahkan memberi ganjaran yang besar berbanding solat secara bersendirian seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :
Maksudnya: Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.(Riwayat Muslim)
Berdasarkan soalan tuan, para fuqaha telah membincangkan berkenaan susunan saf di dalam solat yang melibatkan orang lelaki, perempuan, khunsa, serta kanak-kanak. Di antara dalil sandaran berkaitan isu ini adalah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A yang menyatakan,
Maksudnya: Bahawa neneknya yang bernama Mulaikah menjemput Rasulullah SAW memakan makanan yang telah dimasaknya. Maka Baginda pun menjamu makanan tersebut lalu bersabda: Bangunlah untuk aku bersolat bersama kamu semua. Kemudian Rasulullah SAW berdiri untuk solat, lalu baginda meletakkan aku dan seorang anak yatim di belakangnya, dan perempuan tua (nenek) di belakang kami. Kemudian Baginda solat dua rakaat bersama kami dan seterusnya beredar. (Riwayat Al-Bukhari)
Jika seorang perempuan itu menjadi makmum kepada orang lelaki, maka kedudukannya adalah di belakang imam. Ini juga bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW solat dengannya (Anas) bersama dengan ibunya atau ibu saudaranya lalu Anas berkata: Baginda mendirikan aku di sebelah kanannya dan baginda mendirikan orang perempuan di belakang kami. (Riwayat Muslim)
Dalam hal ini, Imam Al-Nawawi RA berpandangan bahawa kedudukan saf wanita yang disebutkan semuanya adalah berdasarkan perintah istihbab (galakan atau sunat). Jika para makmum menyelisihinya maka hukumnya makruh tetapi solat itu sah. Begitu juga jika imam solat dalam keadaan lebih tinggi daripada makmum, atau makmum tinggi daripada imam, tanpa ada keperluan. Begitu juga jika makmum wanita terkehadapan berbanding saf lelaki selagi mana tidak terkehadapan mengatasi imam, atau makmum wanita solat bersebelahan imam atau sebelah makmum lelaki, maka sah solat wanita itu, dan juga solat orang lelaki. Rujuk Al-Majmu' Syarah Al-Muhadzzab (4/297).
Oleh yang demikian, sekiranya seorang wanita solat bersama suaminya secara berjamaah, maka kedudukannya yang lebih afdhal adalah di belakang suaminya. Adalah tidak batal solat dan tidak diharamkan bahkan tidak dimakruhkan jika seorang isteri bersolat di sebelah kiri atau kanan suami sekiranya ruang di rumah itu sempit kerana tiada ruang solat yang lebih luas dan selesa. Namun, adalah lebih baik sekiranya tuan dapat menunaikan solat di ruang yang lebih luas dan selesa supaya tuntutan dan perintah istihbab itu dapat dilaksanakan dengan baik.
والله أعلم بالصواب