BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Apakah hukum memasukkan sesuatu, selain dari zakar suami, ke dalam faraj isteri yang sedang haid sehingga dia inzal. Sebagai contoh, memasukkan jari, memasukkan zakar tiruan, dan sebagainya. Ini adalah atas permintaan isteri. Kerana ini satu-satu nya cara isteri dapat meredakan nafsu nya ketika sedang haid. Sekiranya haram, perlukah membayar fidyah/kaffarah? Harap dapat perjelaskan.

Sekian. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Terima kasih kepada tuan atas pertanyaan yang diajukan.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 222:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

Ayat di atas jelas menunjukkan larangan melakukan persetubuhan di antara suami dan isteri ketika di dalam keadaan haid. Para ulamak bersepakat bahawa hukum melakukan persetubuhan semasa haid adalah haram. Bagi mazhab Syafi'i disunatkan kepada suami untuk bersedekah sebanyak satu dinar (4.24 gram emas) sekiranya melakukan persetubuhan di awal tempoh haid, atau setengah dinar sekiranya melakukan persetubuhan di akhir-akhir tempoh haid. 

Suatu yang perlu kita yakini dan imani bahawa setiap perintah atau hukum yang Allah SWT tetapkan kepada manusia sama ada berbentuk suruhan mahupun larangan adalah demi kemaslahatan manusia. Kemaslahatan itu sama ada mendapatkan kebaikan atau mengelakkan dari berlaku kemudharatan. Larangan melakukan hubungan persetubuhan ketika haid adalah bagi mengelakkan kemudharatan yang mungkin berlaku kesan perbuatan tersebut kepada isteri mahupun kepada suami. Begitu juga hal keadaan memasukkan sesuatu ke dalam faraj isteri seperti jari atau zakar palsu ketika haid adalah dilarang kerana dikhuatiri akan mendatangkan kemudharatan kepada isteri. Sayugia perbuatan tersebut hendaklah dihentikan. Bagi mereka yang melakukan perbuatan tersebut dengan sengaja, mereka dianggap berdosa tanpa diwajibkan membayar fidyah atau kaffarah. Hendaklah mereka bertaubat dan memperbanyakkan amalan soleh termasuk bersedekah.  

Walau bagaimanapun, majoriti ulamak mazhab Syafi'i mengharuskan istimta’ (bermesraan secara seksual) secara berlapik pada bahagian antara pusat dan lutut semasa haid. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Maimunah RA berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُبَاشِرُ نِسَاءَهُ فَوْقَ الْإِزَارِ وَهُنَّ حُيَّضٌ

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah ﷺ bermesraan secara seksual dengan isteri-isteri Baginda pada bahagian atas daripada izar (pakaian yang menutup pertengan badan yakni antara pusat dan lutut) sedangkan mereka berada dalam keadaan haid. (Riwayat Muslim).

Namun, seandainya terdapat keadaan yang mendesak seperti tuntutan syahwat yang memuncak serta khuatir terjebak di dalam kemaksiatan atau perzinaan, maka beristimta' pada bahagian antara pusat dan lutut tanpa lapik adalah diharuskan selama tidak berlaku persetubuhan atau memasukkan sesuatu ke dalam faraj isteri. Perkara ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اصْنَعُوا كُلَّ شَيْءٍ إِلَّا النِّكَاحَ

Maksudnya: Perbuatlah oleh kalian apa sahaja selain nikah (persetubuhan). (Riwayat Muslim)

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 2457

message user image