Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum..saya ingin bertanya..sekira nya saya buat akikah untuk anak saya..bolehkah saya menggunakan duit anak saya untuk beli ayam dan bahan2 masakan dan jugak canopy untuk majlis akikah dia..mohon pencerahan...terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد...
Merujuk kepada persoalan tuan, mengikut pandangan jumhur ulama', iaitu bapa tidak boleh mengambil harta/duit anak dengan sewenang-wenangnya. Hanya dibenarkan apabila berada dalam keadaan yang perlu sahaja. Justeru, ibu bapa tidak boleh menggunakan duit anak-anak mereka dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja. Jika ibu bapa sudah menggunakan harta anak-anak dalam perkara yang tidak menjadi keperluan, maka wajib ke atas ibu bapa untuk menggantikannya kembali.
Berkenaan akikah anak, ia menjadi tuntutan (sunat muakkad) bagi ibu bapa untuk melaksanakannya sekiranya mereka berkemampuan. Jika tidak mampu, maka tidak wajib dilaksanakan. Para ulama Syafi'iyyah berpendapat bahawa akikah dituntut ke atas al-asl (seperti ayah dan datuk) kerana dia wajib menafkahi bayi itu dan bayi dianggap faqir. Akikah hendaklah ditunaikan bukan menggunakan harta anaknya sebaliknya menggunakan hartanya sendiri. Namun apabila anak itu baligh sebelum sempat diakikahkan, maka sunat bagi anak tersebut untuk mengakikahkan dirinya sendiri.
Justeru, tuan tidak boleh menggunakan duit anak untuk membeli ayam, bahan-bahan masakan dan juga canopy untuk majlis akikah anak. Tuan perlu menggunakan duit sendiri untuk jamuan majlis akikah tersebut. Jika ingin menggunakanya juga, tuan wajib menggantikannya semula.
Namun jika wang anak tersebut pada asalnya adalah pemberian daripada bapa itu sendiri, maka bapa diharuskan mengambilnya semula dan menggunakannya untuk membeli binatang akikah atau keperluan lain untuk majlis tersebut. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَحِلُّ لِأَحَدٍ أَنْ يُعْطِيَ عَطِيَّةً فَيَرْجِعَ فِيهَا إِلَّا الوَالِدَ فِيمَا يُعْطِي وَلَدَهُ
Maksudnya: Tidak halal bagi seorang memberikan sesuatu pemberian kemudian dia memintanya semula kecuali bapa meminta semula apa yang dia diberikan kepada anaknya.
والله أعلم بالصواب