Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya ada sedikit kemusykilan berkaitan istinjak-
Selepas selesai membuang air besar ataupun air kecil. Secara umumnya, kita akan menggunakan air paip (air mutlak) untuk menyucikan anggota bernajis seperti qubul dan dubur.
Terima kasih. Hanya nak dapat jawapan daripada persoalan yang seringkali tertanya setiap kali berlaku.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Beristinjak iaitu membersihkan atau mensucikan bahagian qubul dan dubur selepas daripada membuang air kecil mahupun air besar hukumnya adalah wajib. Beristinjak hendaklah menggunakan air mutlak sehingga hilang kesan ain najis seperti warna, bau dan rasa. Merujuk kepada persoalan tuan:
1. Air basuhan pertama semasa bersuci daripada najis telah menjadi air mutannajis selagi najis yang hendak dibasuh tidak bersih sama ada pada bahagian qubul atau dubur dan ia tidak lagi menjadi air yang suci. Manakala apabila telah bersih daripada najis setelah dari basuhan yang pertama sama ada pada bahagian qubul atau dubur, maka air basuhan kali kedua atau seterusnya pula adalah suci.
2. Percikan air daripada air basuhan najis yang halus dan sukar untuk dielakkan adalah dimaafkan sekiranya terkena pada anggota badan atau pakaian. Melainkan percikan itu meninggalkan ain najis yang kelihatan nyata pada pandangan mata atau bau, maka ketika itu perlu disucikan. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh pengarang Kitab al-Fiqh al-Manhaji :
“Islam agama yang bersih, untuk itu wajib menghilangkan najis walau di mana keberadaannya. Memelihara diri daripada najis, dan menjadi bersih dari najis adalah syarat sah solat sama ada pada pakaian ataupun badan ataupun tempat solat. Sesungguhnya agama meraikan kemudahan dan menghilangkan kesusahan. Maka dimaafkan sebahagian najis disebabkan kesusahan untuk menghilangkannya atau kesusahan untuk menjaga daripada terkena najis tersebut, agar menjadi kemudahan kepada manusia, dan mengangkat kesusahan daripada manusia. Contohnya, percikan air kencing yang sedikit yang tidak dapat dikesan dengan penglihatan mata yang sederhana jika terkena pakaian ataupun badan, sama ada najis mughallazah ataupun najis mukhaffafah ataupun najis mutawassitah.”
3. Bagi mengelakkan dari perasaan was-was berkaitan percikan air tersebut sama ada ianya bernajis atau tidak, maka kembali kepada kaedah fiqah yang menyatakan:
لأصل في الأشياء كلها الطهارة
Makna: Hukum asal sesuatu perkara adalah suci.
Para ulama’ amat mengambil berat mengenai penyakit was-was kerana jika dibiarkan berlarutan boleh menjadi sesuatu yang lebih kronik. Ini kerana hukum asal sesuatu itu adalah suci. Sesuatu itu tidak dianggap bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka ia adalah suci.
4. Berdasarkan kaedah yang sama seperti di atas, jika tidak dapat diyakini bahawa air yang terpercik itu mengenai mana-mana anggota badan atau pakaian, maka ia kekal suci daripada najis.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.