BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt Mufti, 

Lengan saya melecur dan Dr menyuruh utk memakai balutan yg mempunyai krim. Apabila balik ke rumah dan solat, saya berwudhu di anggota badan yg lain seperti biasa dan sekadar membasahkan telapak tangan saya dan melalukan tangan saya ke balutan luka tersebut. Saya tidak membuka balutan kerana ingin ubat menyerap seketika ke dalam luka. Beberapa ketika pula, saya dan suami bersama lalu saya mandi wajib. Ketika mandi wajib, saya telah membuka balutan luka tersebut dengan niat untuk melalukan air ke atas bahagian lecur tersebut. Namun, saya dapati bahawa bahagian lecur tersebut agak berminyak disebabkan krim ubat tersebut. Saya mencuba sedaya upaya untuk melalukan air bersabun ke atas lecur tersebut untuk menghilangkan kesan minyak itu, namun masih terdapat sedikit kesan berminyak (perlu dimaklum, kesan minyak tersebut perlu digosok agak kuat untuk betul-betul hilang). Soalan saya:

1) Adakah saya perlu mengganti solat (yang dilakukan sebelum berhadas besar) di mana saya tidak berwudhu sebelum memasang balutan, dan dalam keadaan ubat/krim perlu diletakkan di kesan lecur buat masa yang agak lama untuk memastikan luka tidak pecah/menjadi lepuh
2) Adakah saya perlu mandi wajib semula dan mengganti semua solat selepas mandi wajib itu jika bahagian lecur berminyak dan tidak telap air, walaupun saya sudah membuka balutan dan berusaha membersihkan kesan minyak tersebut
3) Perlukah saya melakukan tayamum, sedangkan bahagian tayamum (lengan yang melecur) tidak boleh terkena debu tanah atau berisiko mendapat infeksi jika terkena debu tanah

Sekian sahaja soalan2 saya. Terima kasih Mufti, harap dapat menjawab persoalan saya kerana saya runsing akan solat2 yang perlu diganti. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga tuan/puan sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Jabirah bermaksud balutan di atas anggota yang sakit iaitu di kawasan anggota wuduk atau anggota tayamum seperti membaluti dengan menggunakan plaster, gaus dan sebagainya. Bagi pesakit yang berjabirah hal keadaan berbalut pada sebahagian tangan, langkah-langkah cara berwudhu' adalah seperti berikut:

  1. Basuh muka beserta niat wudhu'.
  2. Basuh bahagian tangan yang boleh dikenakan air hingga ke siku dan sapu air di atas pembalut. Jika mendatangkan mudharat maka tidak perlu disapu.
  3. Sempurnakan wudhu' dengan menyapu air pada kepala dan membasuh kedua kaki hingga ke buku lali.
  4. Solat yang dilakukan tidak perlu diulang.

Adalah tidak disyaratkan berwudhu' sebelum memasang balutan atau tampalan pada anggota wudhu'.

Manakala berkenaan mandi wajib pula, pesakit yang sebahagian besar badannya boleh terkena air sedangkan kecederaannya sedikit hendaklah mandi dan membasuh bahagian yang boleh terkena air mengikut kemampuan. Selebihnya hendaklah disapu dengan air. Setelah itu solat dan solat tidak perlu diulang. Pesakit juga tidak perlu mengulangi mandi wajibnya apabila sudah sembuh. 

Merujuk kepada persoalan puan:

1. Puan tidak perlu mengulang atau menganti solat yang ditunaikan walaupun tidak berwudhu' sebelum memasang balutan pada tangan dan puan telah mengambil wudhu' sebagaimana langkah-langkah yang telah ditunjukkan di atas.

2. Puan tidak perlu mandi wajib semula atau mengulang kembali solat yang telah didirikan selepas dari mandi wajib itu.

3. Puan tidak perlu melakukan tayamum. Memadai dengan mengalirkan atau menyapu air di atas permukaan lengan yang melecur itu semampunya sama ada ketika berwudhu' atau mandi wajib. 

Sehubungan itu, kami sertakan panduan berkenaan bersuci dan bersolat bagi pesakit yang disediakan oleh JAKIM sebagai rujukan di peringkat puan:

https://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/panduan_bersuci_dan_bersolat_bagi_pesakit.pdf 

والله أعلم بالصواب 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 1357

message user image