Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Asssalammulaikum ustaz,
Saya ada satu soalan mengenai lafaz cerai. Pada suatu malam, saya dan suami sedang menonton TV cerita lawak bersama dua orang anak kami. Cerita dalam TV tersebut memaparkan tentang seorang lelaki yang sedang untuk melafazkan cerai kepada isterinya tetapi belum melafazkannya lagi hanya baru menyebut nama isterinya.
Semasa kami sedang menonton drama TV tersebut, tiba-tiba ibu suami saya datang dan terus bertanya kepada suami saya kenapa dengan drama TV ini? Suami pun berkata dia kena cerai, dia nak ceraikan isteri dia.
Kemudian ibu suami terus masuk ke dalam bilik.
Kemudian secara tiba-tiba suami terus kata ‘aku ceraikan kau’.
Dalam situasi ini, lafaz cerai tersebut tidak ditujukan kepada saya (isteri ) kerana saya sangat pasti suami melafazkan ke arah tv dan tidak memandang saya walaupun saya ada di belakang sebelah kanan suami.
Semasa suami melafazkan cerai tersebut, muka dan tubuh badannya menghadap televisyen dan suami tidak memandang ke arah saya (isteri)
Soalan: 1. Adakah talak itu jatuh terhadap saya (isteri)
2. Saya ada bertanya kepada suami mengenai lafaz tersebut dan suami berkata lafaz tersebut TIDAK DITUJUKAN KEPADA AWAK (isteri ).. abang (suami) tujukan kepada orang dalam TV tu ( hantu perempuan yg kahwin dgn manusia lelaki )
3. Saya ada ajak suami ke mahkamah, tapi suami tak nak dan anggap tiada penceraian yang berlaku.
4. Apa pandangan tuan mengenai masalah dan situasi saya ini? Saya risau sebab perkara ni dah terjadi 9 tahun lepas, sampai sekarang saya fikir..Dan suami tidak pernah lafaz rujuk tapi kami ada berjimak..
Ada juga saya bertanya kepada pihak tertentu, mereka mengatakan talak Tidak jatuh.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Dalam mensabitkan jatuhnya sesuatu talak, ia perlu memenuhi rukun serta syarat talak sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syara'.
Merujuk kenyataan puan dan pengakuan suami puan bahawa lafaz perkataan "aku ceraikan kau" secara tiba-tiba itu adalah ditujukan kepada perempuan yang berlakon dalam televisyen ketika itu dan bukan ditujukan kepada puan, maka ia tidak membawa kepada jatuhnya talak.
Walau bagimanapun, pengesahan lafaz cerai atau lafaz adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah, maka puan bolehlah merujuk kepada pihak mahkamah yang berhampiran.
والله أعلم بالصواب