BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

1. Apakah hukum Wanita bermarhaban bersama alat Muzik.? Ada hukum yg menyatakan suara Wanita itu auratnya, dan tidak boleh diperdengarkan kepada muslimin tapi hanya dibolehkan pada kaum muslimat.

2. Bolehkah Wanita bermarhaban di majlis Nikah, kahwin, dimana keramaian bercampur muslimin dan muslimat?

3. Apakah hukum berlatih Marhaban sebelum sesebuah majlis di dalam Surau atau Masjid selepas waktu akhir solat bersama alat Muzik? Waktu akhir bermaksud, selepas Solat Isyak dan sesudah jemaah lain tiada di Surau atau Masjid.

4. Apakah benar, jika nawaitu (niat) sesebuah Kumpulan Marhaban Wanita itu hanya untuk menyampaikan kisah hidup Rasullullah (SAW), memuji nama Allah dan RasulNya disebuah Majlis, jadi ia tidak dianggap sebagai Haram.

5. Apakah hukum berMarhaban dengan alat Muzik bertali, gendang dan loceng?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Berdasarkan kepada soalan yang diajukan:

1. Pada dasarnya suara wanita bukanlah aurat yang larang untuk diperdengarkan kepada kaum lelaki.  Ini adalah kerana para Sahabat RA turut mendengar suara isteri-isteri Rasulullah SAW serta suara wanita-wanita dari kalangan Sahabat RA ketika mereka menanyakan soalan kepada Baginda Rasulullah SAW. Namun apa yang dilarang adalah melunakkan, memanjakan, melagukan atau melenggokkan suara mereka sehingga boleh menimbulkan fitnah kepada kaum lelaki yang mendengarnya.

Ini sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Al-Ahzab ayat 32:

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَعْرُوفًا

Maksudnya: Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).

Oleh itu, sayugia wanita bermarhaban dalam kalangan sesama wanita sahaja dan tidak diperdengarkan kepada kaum lelaki.

Begitu juga hukum wanita bermarhaban bersama iringan alat muzik, ia diharuskan apabila dimainkan dalam kalangan sesama wanita sahaja.

2. Sebagaimana jawapan yang dinyatakan di atas, wanita adalah dilarang daripada bermarhaban di dalam majlis atau keramaian yang dihadiri oleh kaum muslimin dan muslimat.

3. Bagi persoalan hukum berlatih marhaban di surau atau masjid dengan diiringi peralatan muzik,  Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 - 22 Oktober 2014 telah membincangkan Kedudukan Perbuatan Zikir Sambil Memukul Gendang Atau Peralatan Muzik Lain Dalam Masjid Atau Surau. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

1. Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan Muzakarah menegaskan bahawa amalan berzikir adalah suatu tuntutan yang dianjur oleh Islam dan dianggap sebagai ibadah sunat bagi mengingati Allah dengan menyebut nama-Nya.

2. Muzakarah juga berpandangan bahawa amalan berzikir pada masa kini yang telah ditambah dengan cara memukul alat muzik seperti rebana, tabla (gendang) dan sebagainya di dalam masjid atau surau oleh sesetengah pihak, boleh mengganggu urusan ibadah orang lain yang datang untuk menunaikan solat, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya. Perbuatan sebegini adalah ditegah oleh Nabi SAW berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik:

Maksudnya: Baginda mendapati para sahabatnya sedang sembahyang dan mereka menguatkan (menyaringkan) bacaannya, lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya orang yang sembahyang itu bermunajat kepada tuhan-Nya, maka hendaklah engkau memerhatikan apa yang dia munajatkan itu dan janganlah menyaringkan suara sebahagian dari kamu atas sebahagian (mengatasi) yang lain dengan bacaan-bacaan al-Quran”.

3. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa melagukan zikir adalah harus jika ianya dilakukan dengan penuh adab dan boleh membawa kepada tercapainya matlamat berzikir. Tetapi jika majlis atau amalan berzikir tersebut dilakukan dengan penggunaan alat-alat muzik yang dilarang sehingga melalaikan dan menghilangkan tujuan sebenar berzikir atau dilakukan di tempat ibadah seperti surau atau masjid sehingga mengganggu urusan ibadah orang lain atau majlis yang bercampur antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, maka perbuatan zikir sedemikian adalah dilarang oleh Islam.

Oleh itu, adalah disarankan agar tidak melakukan latihan tersebut di dalam masjid atau surau bagi mengelakkan sebarang fitnah.

4. Terdapat kaedah Fiqah berbunyi:

الغاية لا تُبرر الوسيلة

Maksudnya: Matlamat (niat atau tujuan) tidak menghalalkan cara.

Ini bermakna walaupun suatu tujuan atau niat itu baik, namun cara, kaedah atau perbuatan itu menyalahi syarak, maka ia adalah dilarang.

Hanyasanya, memahami serta menghayati makna dari marhaban atau sirah Nabi Muhammad SAW yang sampaikan itu adalah lebih utama dari sekadar melagukannya sahaja tanpa mengetahui maksudnya.

5. Sama sebagaimana jawapan soalan no. 1, tiada perbezaan hukum di antara jenis alat muzik yang berbeza.

 والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 665

message user image