BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamua'laikum Tuan/Puan, 

Saya mengalami masalah was-was semasa mengangkat takbir dan berniat sebelum memulakan solat. Apa yang saya faham, niat solat perlu dihadirkan di dalam hati ketika mengangkat takbiratul ihram.

Akan tetapi, tiap kali saya mahu mengangkat takbir, saya akan teragak-agak dan mengambil masa yang agak lama kerana saya was-was dan tidak yakin samada niat saya di dalam hati telah sempurna atau tidak. Selalu nya saya akan mengambil masa 3-4 minit utk betul-betul yakin bahawa niat saya sudah sempurna. Penyakit obsessive compulsive disorder (OCD) yang saya alami pun memang akan memburukkan lagi keadaan, walaupun menurut pembacaan saya, ia adalah dalam keadaan terkawal (mild). 

Untuk mengelakkan masalah ini, saya telah cuba untuk memendekkan niat seperti berikut, contoh: 'Aku solat fardhu Zuhur', tapi masalahnya saya masih lagi terganggu semasa mahu melintaskan niat di dalam hati sewaktu mangangkat takbir. Bayangkan jika niat solat itu adalah untuk Jamak dan Qasar. Lagi lama saya akan ambil masa untuk meyakinkan hati bahawa niat itu sudah sempurna. Berkali-kalilah saya akan angkat takbir sampai saya rasa niat itu sudah sempurna atau betul. 

Saya selalu amalkan surah An-Nas dan beristighfar sebelum mengangkat takbir, tapi masalah ini sering berlaku. Ia membuatkan saya selalu resah dan berdebar-debar untuk memulakan solat, di mana saya tahu yang saya akan menghabiskan masa 3-4 minit untuk hanya menyempurnakan takbir dan niat. Kadang-kadang, masalah ini membuatkan saya menjadi malas atau berat untuk solat. Sebenarnya, sewaktu muda dahulu, saya telah meninggalkan solat dalam waktu yang agak lama, semata-mata kerana saya bingung dan kecewa dengan masalah was-was / khuatir yang saya alami ini.

Selain daripada mengalami masalah untuk berniat ketika solat, saya juga akan was-was dan mengambil masa yang lama untuk menyempurnakan wuduk, mandi hadas dan sertu, was-was jika air tidak mengalir ke tempat-tempat yang sepatutnya.

Segala nasihat dan pertolongan daripada pihak Tuan/Puan saya dahului dengan ucapan terima kasih. Saya tidak mahu lagi meninggalkan solat kerana rasa was-was yang saya alami. Saya yakin mesti ada cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini. 

Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Merujuk kepada persoalan, penyakit was-was adalah datangnya daripada gangguan syaitan yang direjam. Antara bentuk gangguannya adalah dengan mencampakkan perasaan was-was kepada manusia itu sendiri. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah An-Nas ayat ke-5:

الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ

Maksudnya: Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia.

Di dalam kitab Talbis Iblis pula, Ibnu al-Jauzi berkata syaitan menjalankan tipu daya pada manusia ketika solat antaranya dengan cara mengganggu seseorang ketika sedang berniat untuk solat. Sebahagian mereka melafazkan usolli.. kemudian lalu mengulanginya kerana menyangka niatnya adalah batal sedangkan niatnya tidak batal. Sebahagian yang lain mengangkat takbir kemudian membatalkan lalu mengulang-ulanginya semula maka apabila imam rukuk barulah orang yang was-was itu mengangkat takbir lalu rukuk bersama imam. Hal ini tidaklah melainkan kerana iblis mahu menghilangkan kelebihan (fadilat takbir bersama imam) bagi orang yang was-was itu. 

Maka bagi individu yang mengalami masalah was-was dalam ibadah perlu mencari penyelesaian berdasarkan panduan yang telah digariskan oleh para ulama', antaranya:

  1. Mengambil sikap tidak peduli, iaitu dengan membiarkan dan melawan perasaan was-was tersebut.
  2. Bersabar dan terus mencuba menghilangkan was-was. Mereka yang ditimpa penyakit was-was ini sebenarnya sedang diuji, iaitu ujian menentang syaitan.
  3. Mempelajari tatacara ibadah yang sahih. Dengan mempelajari ibadah yang sempurna dapat membantu menghindari penyakit was-was ini.
  4. Sentiasa memohon perlindungan Allah SWT. Ini kerana bisikan syaitan sentiasa menyebabkan perasaan was-was kepada manusia.
  5. Meletakkan keyakinan yang tinggi dalam setiap ibadah yang dilaksanakan.

Perasaan tidak yakin atas sesuatu itu merupakan penyakit was-was pada diri tuan yang perlu dielakkan dan dijauhi bagi menggelakkan permasalahan yang lebih berat kepada diri tuan pada masa akan datang. Para ulama’ amat mengambil berat mengenai penyakit ini kerana jika dibiarkan berlarutan boleh menjadi sesuatu yang lebih kronik kerana ianya penyakit yang berkaitan dengan jantung hati. Orang yang selalu merasa was-was dalam ibadah sehingga melakukannya berulang-ulang kali, atau melayan perasaannya yang sentiasa merasa bebanan was-was hendaklah bertanyakan dirinya sendiri; untuk apa ia lakukan itu semua? Jika ia untuk Allah SWT, maka hendaklah dia tahu bahawa Allah SWT tidak meredhai tindakannya melayan gangguan perasaan atau syaitan yang seperti itu. Layanan kepada perasaan was-was itu hanya mentaati syaitan atau ganggu emosi yang salah, bukan mentaati Allah SWT. Untuk itu, perbanyakkanlah istighfar kepada Allah SWT, mudah-mudahan penyakit ini akan beransur pulih dengan izin-Nya.

Bagi mengatasi masalah niat semasa mengangkat takbiratul ihram,.apa yang boleh dilakukan adalah ketika berdiri untuk memulakan solat, berniat di dalam hati "Aku solat fardhu Zohor", lalu angkat takbiratul ihram. Semasa mengangkat takbiratul ihram, lintaskan di dalam hati "fardu Zohor". Berusahalah dengan membuat latihan untuk membuat lintasan hati ini di luar waktu solat. 

والله أعلم بالصواب 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 439

message user image