Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam...
Saya selalu ditegah oleh ibu mertua untuk memetik atau memotong bahagian tumbuhan di kawasan rumahnya jika saya dalam haid. Alasannya, jika tumbuhan disentuh pada masa kita haid, tumbuhan itu akan layu atau mati.
Saya cuba bertanya pada keluarga saya dan juga cuba cari mana2 sumber rujukan di internet, tetapi tidak ada satu pun fatwa tentang perkara itu. Dan lagi, di rumah saya, ada ditanam tumbuhan. Sudah byk kali saya sentuh dan pegang tumbuhan di rumah saya semasa saya dalam haid. Saya dapati tumbuhan itu tak pun layu atau mati. Malah hidup sampai hari ni.
Mohon pencerahan tentang isu saya ini.
Wassalam...
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Tiada dalil nas Al-Quran, hadis atau fatwa berkaitan larangan bagi wanita yang sedang haid untuk memetik, memotong atau menanam pokok. Justeru tidak menjadi kesalahan dari segi syarak bagi wanita yang berhaid untuk berkebun. Dikhuatiri amalan tersebut boleh membawa kepada fahaman khurafat dan hendaklah dihindarkan kerana boleh mendorong rosaknya akidah. Khurafat ialah semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam.
Hadis yang diriwayatkan daripada A'isyah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَحْدَثَ فِيْ أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ
Maksudnya: Barangsiapa mengada-adakan di dalam agama kami sesuatu yang tidak ada di dalamnya, maka yang dikerjakan itu adalah tertolak. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Namun sebagai tanda menghormati ibu mertua, adalah disarankan agar puan menerima serta mematuhi pesanan ibu mertua tersebut tanpa mempercayai apa yang dikatakannya. Pada masa yang sama gunakanlah cara, jalan dan kaedah yang terbaik secara hikmah untuk menasihati ibu mertua puan.
والله أعلم بالصواب