Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Apakah hukum memasak dan menjual makanan di arena makan (foodcourt) di mana sesetengah gerainya menjual babi? Apakah makanan saya halal? Semua gerai berkongsi tempat membasuh. Saya menggunakan baldi dan bekas2 lain untuk membasuh (bahan makanan basah saya tidak pernah bersentuh secara langsung dengan lantai, dinding atau pili), tapi masih di dalam kawasan membasuh tersebut.
Terima kasih didahulukan.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتهالحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعدSemoga tuan/puan sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan. Merujuk kepada persoalan, hukum memasak dan menjual makanan tersebut tetap sah dan halal. Kami juga memuji usaha murni puan dalam memastikan bahan masakan sentiasa berada dalam keadaan suci dan terhindar daripada sebarang syubhah. Penjagaan kesucian adalah sangat dituntut oleh Islam dalam apa jua perkara. Berhubung perihal itu, kami menyarankan agar puan laporkan kepada pihak pengusaha serta kepada pihak yang berautoriti agar menyediakan ruangan khas atau pisahkan ruang makan, ruang memasak serta tempat basuhan antara orang Islam dengan orang bukan Islam. Hal ini kerana, pengasingan ruangan tersebut termasuk tempat basuhan bagi proses penyucian makanan halal dan tidak halal adalah perkara yang perlu diambil perhatian secara serius oleh semua pihak. |
والله أعلم بالصواب |