BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.  Saya telah pergi ke Betong Thailand pada tahun 2014 bersama isteri saya dan bernikah di pejabat kadi Betong. Tetapi kami masuk ke Thailand secara  haram tampa surat perjalanan yg sah dan kami juga tidak pergi mendaftar pernikahan kami di konsulat Malaysia di Songkla. Kami hanya perlu bayar kepada agen untuk uruskan hal tersebut dan mereka akan post kepada kami. Kami telah bayar rm1800 kepada agen untuk bernikah tetapi untuk urusan pendaftaran di konsulat melalui agen kami mesti tambah lagi rm1000. Tetapi bila saya ada baca bahawa untuk pendaftaran pernikahan di konsulat Malaysia di Songkla adalah suami isteri wajib hadir di pejabat konsulat dan tidak boleh melalui agen dan saya juga ada baca bahawa Jakim hanya beri kebenaran bernikah di jabatan islam di Yala dan bukan di cawangan Betong. Kami juga di saksikan oleh agen kami yg kami tidak kenal rakyat Thailand. Isteri saya pada ketika itu seorang janda dan tidak bawa sijil cerai beliau tetapi tiada masalah dan jurunikah tersebut tetap menikahkan kami. Saya masih belum mendaftar pernikahan kami di Malaysia. Jadi saya ragu ragu dengan pernikahan kami adakah SAH atau tidak. Adakah kami perlu di akad nikah lagi di Jais . Harap tuan dapat membantu . Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Untuk makluman tuan, mengikut Seksyen 25 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, menyatakan semua perkahwinan hendaklah didaftarkan sama ada yang berlaku di dalam atau luar negara. 

Adapun jika sesuatu perkahwinan yang dilaksanakan itu tidak mengikut peruntukan di bawah enakmen ini, maka perkahwinan tersebut hendaklah disahkan terlebih dahulu oleh Mahkamah Syariah. Oleh itu, bagi pendaftaran perkahwinan luar negara tanpa kebenaran, pasangan hendaklah hadir ke Mahkamah Syariah untuk mendapat pengesahan perkahwinan dan perintah daftar perkahwinan.

Secara asasnya, untuk memastikan sesuatu perkahwinan yang dilaksanakan di luar negara itu sah pada hukum syarak, ia hendaklah mencakupi kesempurnaan rukun dan syarat-syarat nikah, terutama dalam bab wali pernikahan. Sekiranya wali pernikahan tersebut adalah wali hakim maka pasangan hendaklah memastikan wali hakim tersebut adalah wali yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama Islam di tempat perkahwinan tersebut dijalankan dan akad nikah tersebut juga hendaklah dijalankan di tempat yang telah ditetapkan bagi wali hakim itu sahaja dan ia bukan dilaksanakan di luar kawasan yang ditetapkan untuknya.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Julai 2002 telah membincangkan Kahwin Lari di Selatan Thailand. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum pernikahan di luar negara adalah sah dengan syarat:

1. Pernikahan itu mengikut rukun nikah.

2. Pernikahan itu melebihi dua marhalah.

3. Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin atas alasan syarak ditempat dia bermastautin.

4. Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakadnikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim.

Memandangkan kuasa mengesahkan perkahwinan luar negara tanpa kebenaran ini adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, maka tuan disyorkan merujuk ke Mahkamah Syariah yang berdekatan dengan kadar segera agar perkahwinan tuan dapat ditentukan kesahihannya.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 220

message user image