Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum mufti,
Saya ingin bertanya 1 soalan,
Apakah hukum sekiranya saya menggunakan perisian komputer yang sepatutnya berbayar seperti 'Adobe Reader (pdf)' ,'Microsoft Office', 'Scribd' yang dibeli dari aplikasi Shopee dimana terdapat penjual yang menyediakan harga lebih murah (kemungkinan hacked version) daripada membeli versi asli berbayar dimana harganya sememangnya diketahui lebih mahal. Adakah dengan menggunakan perisian seperti yang saya nyatakan tersebut, segala ilmu dan kerja yang saya buat selama ini tidak bermanfaat / berdosa / tidak berkat?
Sama juga dengan siaran TV seperti astro dimana terdapat penjual di dalam aplikasi Shopee yang menjual dengan harga jauh lebih murah dari melanggan secara rasmi daripada astro, adakah saya bersubahat dengan penjual kerana melanggan siaran tersebut dan apakah hukumnya?
Mohon pencerahan mufti atas hukum syarak bagi perkara di atas.
Terima Kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Perisian komputer (software) atau siaran berbayar adalah sejenis harta intelek (intelectual property) yang merupakan aset tidak nyata tetapi diiktiraf dari sudut undang-undang dan juga syarak. Akademi Fiqh Islam (Majma’ al-Fiqh al-Islami) dalam persidangan kali ke-5 yang diadakan di Kuwait pada 1409H telah membincangkan berkenaan harta tidak nyata (huquq ma’nawiyyah) dan meluluskan resolusi berikut:
“Hak cipta penulisan, ciptaan, dan rekaan adalah dipelihara dari sudut syarak. Pemilik-pemiliknya berhak untuk mengendalikannya (menjualnya, menyewanya dll). Dan hak-hak tersebut tidak harus dicerobohi”.
Oleh kerana perisian komputer termasuk dalam harta intelek yang diiktiraf syarak, maka ia haram dicerobohi dan perlu dijauhi melalui aktiviti cetak rompak dan seumpamanya. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 188:
وَلَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰلَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ
Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.
Hadis yang diriwayatkan oleh Al-Nu'man ibn Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ
Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhah berarti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. (Riwayat Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah).
والله أعلم بالصواب