BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

[[Pembetulan kepada soalan yang dihantar]]

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. 
 

Saya pernah guna servis Buy Now Pay Later dari Grab (Grab PayLater) dan Shopee (SPayLater). Untuk Grab PayLater, tidak ada sebarang caj dikenakan untuk bayaran ansuran. Tetapi jika bayar lewat, akaun Grab itu akan dibekukan dan perlu membayar RM 10 admin Feb untuk aktifkan kembali akaun itu. Adakah RM 10 itu riba? Seterusnya, SPayLater mengenakan processing fee 1.5% daripada harga keseluruhan barang untuk bayaran ansuran. Dan ia juga mempunyai denda lewat bayar yang dikatakan akan didermakan kepada pihak-pihak yang dibenarkan dari segi syarak. Walaupun Shopee mengatakan SPayLater itu syariah compliant dalam Terma dan Syarat mereka, saya masih ingin mengetahui dengan betul sama ada ia betul-betul halal. Dan jika ia tidak halal, adakah saya berdosa sebab saya tidak tahu tentang butir-butir ini dan tidak tahu sepenuhnya apa yang dikira sebagai riba? Dan bolehkah saya membayar hutang kepada servis-servis ini yang masih belum lengkap bayarannya kerana saya sudah bermula bayaran dan tidak dapat batalkan bayaran tersebut?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Berdasarkan kepada penelitian kami daripada terma dan syarat yang ditetapkan di dalam perkhidmatan SPayLater oleh Shopee di laman web rasmi mereka ada mengatakan bahawa perkhidmatan ini tidak melibatkan hutang. Sebagaimana yang tercatat: “The use of this Service does not constitute a loan, credit card or charge card provided to you by us.” Kenyataan ini mengelirukan kerana, membuat pembelian dengan pembayaran secara ansuran itu merupakan suatu hutang. Walaupun tidak kepada syarikat Shopee secara langsung, akan tetapi kepada syarikat SeaMoney yang menguruskan urusan pembayaran secara ansuran.

Tidak ada kenyataan mengenai yuran pengurusan atau “processing fee” sebanyak 1.5% dari keseluruhan harga barangan sama ada ia dibayar kepada Syarikat Shopee atau syarikat SeaMoney. Sama ada pihak SeaMoney akan membayar penuh kepada syarikat penjual barangan, kaedah pembayaran atau sebagainya turut tidak dijelaskan.

Kenyataan: “3.1 As a Third Party Provider on the Shopee Platform, you hereby agree that: a) to sell all amounts due to you to SeaMoney pursuant to the Receivable Purchase Arrangement”. Adakah syarikat penjual menjual barangan itu kepada SeaMoney atau hanya jumlah iaitu bayaran (hutang) yang syarikat penjual berhak menuntut dari pelanggan?  

Kekurangan maklumat berkaitan perkhidmatan SPayLater yang diberikan menyebabkan pihak kami tidak dapat memberikan pandangan hukum yang kukuh pada masa ini. Kajian yang lebih menyeluruh diperlukan bagi memahami lebih lanjut ciri-ciri perkhidmatan tersebut.

Adapun denda sebanyak RM10 yang dikenakan untuk mengaktifkan semula akaun yang dibekukan akibat terlambat bayar adalah tidak menyalahi syarak seandainya terdapat persetujuan atau syarat yang ditetapkan.

Walaupun, andai kata transaksi yang dilakukan mengandungi unsur riba, barangan yang diperolehi adalah sah, namun perbuatan tersebut adalah haram dan berdosa. Maka bertaubat dan beristigfarlah kepada Allah swt. Berazamlah untuk tidak mengulanginya lagi.

Apa-apa hutang yang telah dibuat yang masih belum lengkap/selesai hendaklah dibayar berdasarkan kepada syarat serta perjanjian yang ditetapkan. Seandainya terdapat unsur riba, berusahalah untuk segera melangsaikan hutang tersebut  dan bertaubat kepada Allah swt.

Dinasihatkan agar sentiasa berwaspada di dalam menggunakan sebarang perkhidmatan seperti ini. Gunakanlah ia secara bijak. Ini adalah kerana dikhuatiri penggunaan yang tidak terkawal akan menyebabkan keberhutangan yang tinggi sehingga berbelanja melebihi kemampuan yang ada. Berusahalah untuk meminimumkan hutang dan berhutanglah hanya untuk keperluan yang mendesak.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 320

message user image