Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam.
Saya ingin bertanya mengenai cara beristinja yang betul selepas membuang air kecil untuk lelaki. Setelah berdeham 3 kali, bagaimana harus kita mencuci kemaluan - adakah cukup dengan menjirus air pada kemaluan beberapa kali? Perlukah saya basuh dibahagian bawah kemaluan, testis dan juga kawasan yang menghampiri dubur kerana khuatir (was-was) mengenai air kencing yang sampai ke bahagian tersebut? Adakah dengan menjirus air dikemaluan sudah cukup untuk membersihkan air kencing tadi? Keadaan ini membuatkan saya was-was dan lama di tandas kerana mencuci sampai bahagian bawah kemaluan, testis dan juga kawasan menghampiri dubur kerana hendak betul2 pasti tetapi ia sangat menyusahkan dan membuat saya lama ditandas.
Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara umum, anggota yang wajib dan memadai untuk dibasuh adalah hujung kemaluan tempat keluar air kencing. Anggota selain itu seperti bahagian bawah kemaluan, testis dan juga kawasan yang menghampiri dubur tidak wajib dibasuh melainkan jika diyakini terkena air kencing. Perlu diingat bahawa was-was ini adalah bisikan serta mainan syaitan untuk menyukarkan orang beriman beribadat dengan sempurna. Abaikan rasa was-was itu dan beribadahlah dengan yakin dengan membasuh anggota yang diyakini terkena air kencing sahaja.
والله أعلم بالصواب