Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya ingin bertanya mengenai hukum. Saya pengusaha kedai motosikal dan selalu menganjurkan konvoi motosikal ke negara luar Thailand/Singapore. Ada peserta Muslim dan Non Muslim.
Soalan saya:
1. Para peserta termasuk Muslim selalu menghadirkan diri mereka ke kelab malam utk minum arak dan juga melanggan pelacur ketika diluar negara semasa menyertai konvoi kami. Juga sering ke rumah urut. Apakah hukum utk saya selaku penganjur?
2. Saya telah menyatakan Syarat2 didalam Konvoi ini supaya Muslim tidak terlibat dan menjauhkan diri dari aktiviti2 Haram seperti ini, namun apa yg terjadi disana adalah diluar kawalan saya kerana jumlah peserta yg ramai dan susah utk saya pantau. Apakah hukum nya?
3. Adakah fatwa, hadis atau dalil yg memberi pencerahan utk ini? Saya melakukan perniagaan dan aktiviti konvoi2 seperti ini mmg byk membantu meningkatkan keuntungan syarikat. Niat saya utk mencari nafkah tetapi saya was2 dgn keadaan ini.
4. Juga di Premis kawasan bengkel saya, pihak non Muslim yg datang utk servis motosikal mereka kerap juga meminum Arak yg dibeli di sebelah 7E atau Speedmart. Saya berasa tidak selesa dan apakah tindakan yg wajar dilakukan?
Minta pencerahan.
Terima Kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan;
1) Selaku penganjur, tuan tidak menanggung perbuatan yang peserta muslim itu lakukan. Sudah tentu matlamat program ini dilaksanakan dengan tujuan yang baik dan sebagainya, tetapi peserta yang mengambil kesempatan ke atas lawatan tersebutlah yang bersalah dan menanggung dosa di atas perbuatan yang mereka sendiri lakukan. Firman Allah SWT dalam surah Al-An'am ayat 164:
وَلَا تَكۡسِبُ كُلُّ نَفۡسٍ إِلَّا عَلَیۡهَاۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةࣱ وِزۡرَ أُخۡرَىٰۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُم مَّرۡجِعُكُمۡ فَیُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِیهِ تَخۡتَلِفُونَ
Maksudnya: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja) kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Ia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya.
2) Oleh kerana tuan juga telah meletakkan syarat sedemikian sebagai salah satu usaha dakwah dan peringatan sesama muslim, maka sesiapa yang melakukan dosa dan maksiat maka dialah yang menanggung dosa dan akibatnya.
3) Perbuatan manusia itu dihukumkan berdasarkan kepada apa yang mereka niatkan. Selama niatnya baik dan perbuatannya tidak menyalahi syarak, maka ia merupakan suatu kebaikan. Antara dalilnya:
i) Hadis yang diriwayatkan daripada Umar bin Al-Khattab RA, katanya dia mendengar bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إنما الأعمال بالنيات، وإنما لكل امرىء ما نوى
Maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat. Sesungguhnya balasan bagi orang itu mengikut apa yang diniatkannya. (Riwayat Al-Bukhari)
ii) Hadis Qudsi yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT berfirman:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ، فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mencatat kebaikan dan kejahatan. Barangsiapa yang berniat akan berbuat kebaikan kemudian tidak dikerjakannya, Allah mencatat untuknya satu kebajikan yang sempurna disisi Allah, dan jika berniat kebaikan kemudian dilaksanakannya, Allah mencatat sepuluh kebajikan sehingga 700 kali ganda sehingga berlipat-lipat ganda lagi. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
4) Bagi pelanggan non-Muslim, tindakan mereka yang minum arak itu tertakluk kepada undang-undang negara. Antara saranan yang tuan boleh lakukan ialah membuat signboard makluman seperti larangan merokok dan larangan minum arak di premis tuan, atau membuat garis panduan yang difikirkan wajar demi kesejahteraan dan keharmonian sesama pelanggan.
والله أعلم بالصواب