BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wth.

Saya berkahwin dengan duda anak 4. setelah 5 tahun berkahwin saya baru sahaja dikurniakan anak lelaki berusia 5 bulan. namun baru-baru ini anak tiri perempuan (1) mohon tinggal dengan ayahnya (suami) sebelum ini dijaga oleh mama mereka di negeri sembilan. saya takut suami mengungkit jadi saya setuju. namun setelah 7bulan tinggal sebumbung saya semakin tidak ikhlas menjaga anak tiri kerana perbezaan sifat dan sikap yang ketara. saya jenis yang rajin mengemas rumah, tersusun, mesra serta peka pada orang lain.

soalan saya :

1) saya dianggap derhaka pada suami jika saya menolak tidak dapat terus mejaga anak tiri di rumah kami kerana saya semakin jadi takut mahu balik ke rumah sendiri. hanya anak kecil menjadi penguat semangat saya.

2) apakah hukum ibu tiri dan wajibkah menjaga anak tiri? bagaimana cara terbaik untuk saya menolak menjaga anak tiri tersebut yang sedang belajar tingkatan 4?

3) adakah saya akan terima kifarah jika saya menolak menjaga anak tiri, benarkah balasan akan terjadi kepada anak kandung saya seperti menjadi anak yang tidak solleh dan nakal?

sekian, terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Pada dasarnya, dari segi syarak, adalah tidak menjadi kewajipan kepada isteri untuk menjaga anak suami dari isterinya yang lain atau anak tiri. Namun ia dianggap sebagai suatu kebaikan oleh isteri terhadap suami yang tidak boleh dipaksa.

Oleh itu berdasarkan kepada soalan yang diajukan:

  1. Puan tidak dianggap sebagai derhaka kepada suami jika menolak untuk tidak terus menjaga anak tiri tersebut di rumah yang puan tinggal. Namun, puan perlu menyatakan hasrat puan itu dengan penuh hikmah dan bijaksana.
  2. Sebagaimana yang dinyatakan, puan (sebagai ibu tiri) tidak diwajibkan untuk menjaga anak tiri (anak suami dari isteri yang lain). Puan lebih mengenali suami puan. Carilah masa dan keadaan yang tenang seperti suami sedang berehat dan sebagainya. Dahulukan dengan meminta maaf atas apa yang akan puan nyatakan dan kemaafan juga atas ketidakupayaan puan untuk memenuhi permintaan suami menjaga anak tersebut.
  3. Memandangkan perkara tersebut bukan merupakan tanggungjawab puan, maka tiada kemurkaan atau kafarah yang akan menimpa.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 195

message user image