BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt Tuan Mufti,

Merujuk kepada perkara di atas, saya Jazalina Binti Yahaya ingin membuat pertanyaan dan berharap pihak tuan dapat memberi penjelasan mengenai persoalan saya seperti berikut:

Ibu saya telah meninggal dunia pada 13 Oct 2022. Saya sebagai anak perempuan kepada gemullah akan menguruskan urusan faraid. Untuk makluman tuan, saya mempunyai 3 orang adik beradik (1 anak lelaki dan 2 anak perempuan) :-

1) Azlina Binti Ismail

2) Jazalina Binti Yahaya

3) Pridauz Bin Yahaya (telah meninggal dunia pada 3/9/2019)

Gemullah mempunyai 6 orang adik beradik (3 saudara lelaki dan 3 saudara perempuan) yang masih hidup:

1) Esah Binti Hamid

2) Fuziah Binti Hamid

3) Yusof Bin Hamid

4) Rosnah Binti Hamid

5) Abdul Malik Bin Hamid

6) Abu Bakar bin Hamid

Gemullah mempunya 8 orang cucu:

1) Syed Hazim ( Anak lelaki kepada Azlina)

2) Sharifah Nuratikah (Anak perempuan kepad Azlina)

3) Syed Hakim (Anak lelaki kepada Azlina) 

4) Sharifah Irdina (Anak perempuan kepada Azlina)

5) Nur Ameera (Anak perempuan kepada Jazalina)

6) Nur Athirah (Anak perempuan kepada Jazalina)

7) Muhammad Naqib (Anak lelaki kepada arwah Pridauz)

8) Sofia Humairah (Anak perempuan kepada arwah Pridauz)

Soalan 1:

Siapakah yang layak mendapat bahagian daripada harta peninggalan gemullah?

Soalan 2:

Adakah pinggan mangkuk, periuk dan perkakas dapur perlu di isytiharkan sebagai harta faraid? Sekiranya ya, Bagaimana cara pengagihannya?

Kami berharap agar persoalan ini mendapat maklumbalas dari pihak tuan

Sekian terima kasih

 

Jazalina Yahaya


message user image

Jawapan  

 

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

1. Merujuk kepada persoalan puan, untuk menentukan siapa yang berhak menjadi waris, secara asasnnya waris mestilah mereka yang mempunyai hubungan dengan si mati melalui hubungan darah atau perkahwinan untuk mewarisi harta peninggalan tersebut dan masih hidup semasa si mati meninggal dunia. Berdasarkan senarai nama dan hubungan kekeluargaan yang dinyatakan, terdapat empat waris yang berhak mendapat harta pusaka kepada arwah si mati iaitu 2 orang anak perempuan si mati iaitu Azlina dan Jazalina serta cucu lelaki (Muhammad Naqiz) dan cucu perempuan (Sofia Humairah) daripada anak lelaki (Pridauz). 

Hal ini bermakna, bapa atau ibu saudara (abang/adik beradik arwah bapa) terhalang daripada mewarisi harta si mati sungguhpun mereka adalah adik beradik kepada arwah si mati dengan adanya cucu lelaki daripada anak lelaki sebagai penghalang (hajib)..

Untuk mengetahui maklumat lanjut berkaitan pembahagian harta pusaka pihak puan boleh merujuk terus kepada Unit Faraid, Bahagian Harta Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor atau puan selaku pentadbir yang dilantik boleh membuat permohonan perintah faraid di Mahkamah Syariah untuk penentuan waris-waris yang berhak ke atas harta pusaka si mati. Selepas kematian seseorang, ahli waris boleh mendapatkan Sijil Faraid. Sijil Faraid atau perakuan ahli waris ialah satu sijil atau perakuan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah berhubung dengan harta pusaka si mati orang Islam, waris-waris yang berhak dan bahagian masing-masing terhadap harta pusaka itu. Sijil ini mengandungi nilai harta pusaka si mati, nama-nama ahli waris yang berhak dan bahagian masing-masing.

2. Selain itu berkenaan soalan kedua, harta seperti pakaian, alat tulis, jam tangan, perabot, barang perkakasan dapur dan sebagainya yang dipunyai oleh si mati juga termasuk dalam harta pusaka ini. Harta pusaka atau al-tarikah (التركة) di sisi jumhur ulama’ adalah segala apa yang menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya, kemudian ditinggalkan untuk waris-warisnya sama ada harta benda, hak-hak dan apa yang termasuk dalam miliknya setelah seseorang itu mati.

Harta tersebut juga terikat dengan pembahagian secara faraid. Memandangkan ia merupakan harta yang susut nilai, terdapat beberapa saranan yang boleh dilakukan:

  1. Mengekalkan harta asal dengan memilih sesiapa yang akan memiliki dan menggunakan harta kecil tersebut dalam kalangan waris-waris yang layak.
  2. Menukarkan harta ringkas tersebut kepada nilai (menjualnya) kemudian hasil jualan tersebut dibahagikan kepada waris-waris yang layak berdasarkan bahagian masing-masing.
  3. Menyedekahkan harta kecil tersebut sebagai pahala yang bersambung bagi pihak si mati.

Namun, kita terdapat dalam kalangan waris yang belum cukup umur, maka bahagiannya hendaklah dipastikan diperolehi. Ini memandangkan keizinan mereka untuk melepaskan hak terhadap harta tersebut tidak sah atau tidak diterima oleh syarak. Oleh itu, adalah disarankan agar mereka diberi pampasan berdasarkan nilai bahagian yang mereka berhak perolehi. 

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 144

message user image