Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Adakah seseorang yang tidak menutup aurat dengan sempurna boleh mengamalkan rukhsah solat (jamak dan qasar) ketika bermusafir ke tempat yang baik dan dengan tujuan yang baik, seperti melancong atau menziarahi keluarga? Adakah perbuatan tidak menutup aurat itu menjadi suatu maksiat yang menggugurkan keharusan rukhsah solat itu kepada seseorang?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan saudari,
1. Seseorang yang tidak menutup aurat dengan sempurna masih boleh mengamalkan rukhsah solat (jamak dan qasar) ketika bermusafir yang diharuskan seperti melancong atau menziarahi keluarga.
2. Perbuatan tidak menutup aurat dengan sempurna tidak menjadi penghalang kepada pelakunya untuk mengamalkan rukhsah yang diberikan iaitu solat jamak dan qasar selama dia di dalam musafir yang diharuskan. Namun perlu diingat bahawa perbuatan tidak menutup aurat merupakan suatu bentuk maksiat serta dosa terhadap Allah SWT. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda mengenai balasan bagi mereka yang tidak menutup aurat dengan sempurna:
صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا، قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ، وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ، رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ، لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ، وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا، وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا
Maksudnya: Dua (jenis manusia) dari ahli neraka yang aku belum melihatnya sekarang yaitu; kaum yang membawa cemeti-cemeti seperti ekor sapi, mereka memukul manusia dengannya, dan perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang, berjalan berlenggak lenggok, kepala mereka seperti punuk unta yang condong. Mereka tidak akan masuk surga bahkan tidak akan mendapat wanginya, dan sungguh wangi surga itu telah tercium dari jarak perjalanan sekian dan sekian.
والله أعلم بالصواب