BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Asalammualaikaum.

Saya dan suami ada seorang lelaki anak luar nikah sebelum kami berkahwin. Jadi siapakan yang berhak sepenuhnyaa pada anak ini. Suami atau isteri. ???? Saya perlukan jawapan yan segera. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menurut pandangan majoriti ulama empat mazhab, anak tidak sahtaraf atau anak luar nikah adalah dinasabkan kepada ibunya dan tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya. Hal ini juga disebut secara jelas sepertimana keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 : “Anak tak sahtaraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali”.

Dari sudut hak penjagaan anak tak sahtaraf ia diberikan kepada ibu serta keluarga sebelah ibu. Di dalam  Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, seksyen 86. Penjagaan anak-anak tak sahtaraf, memperuntukan bahawa: "Penjagaan kanak-kanak tak sahtaraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu". 

Begitu juga dari sudut kewajipan memberi nafkah dan saraan hidup bagi anak tak sahtaraf itu adalah terletak kepada ibunya. Di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, seksyen 81. Kewajipan menanggung nafkah anak-anak tak sahtaraf, menyatakan bahawa:

(1) Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tak sahtaraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol, Mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya, memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.
(2) Elaun bulanan di bawah seksyen ini hendaklah kena dibayar dari tarikh bermulanya kecuaian atau keengganan menanggung nafkah itu atau dari sesuatu tarikh yang kemudian mengikut sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 68

message user image