Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Seperti mana yang kita maklum negara kita baru sahaja mengalami fenomena gerhana bulan & kita disunatkan untuk solat sunat gerhana. Soalan saya bilakah bermula waktu kita dibolehkan untuk solat gerhana bulan memandangkan ada beberapa fasa ketika gerhana tersebut berlaku. Adakah sah solat gerhana bulan jika dilakukan ketika bermula fasa gerhana separa (5.08 petang) atau bermula fasa gerhana penuh (6.16 petang) atau hanya boleh dilakukan selepas kemuncak gerhana (6.59 petang). Terima kasih atas jawapan.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Berdasarkan data berkaitan fenomena Gerhana Bulan Penuh (GBP) yang berlaku di Malaysia pada 08 November 2022 (Selasa). Gerhana Bulan bermula dengan fasa gerhana separa pada jam 05.09 petang dan tamat pada jam 8:49 malam. Fenomena ini berlaku apabila bulan melintas masuk ke dalam bayang-bayang umbra bumi. Di dalam keadaan ini, bumi akan berada di antara bulan dan matahari dalam kedudukan segarisan. Walau bagaimanapun, waktu Gerhana Bulan boleh dilihat berbeza mengikut lokasi seseorang itu berada. Di Selangor contohnya, fenomena gerhana bulan ini boleh kelihatan bermula jam 6:59 petang, iaitu apabila bulan mula terbit di ufuk timur. Solat Sunat Gerhana boleh dilakukan apabila bulan kelihatan mula gerhana walaupun sedikit. Berdasarkan data dan fakta di atas maka solat sunat Gerhana Bulan di Selangor boleh dilaksanakan bermula apabila fenomena tersebut dijangka boleh kelihatan pada jam 6.59 malam hingga tamatnya Gerhana Bulan pada jam 8.49 malam.
والله أعلم بالصواب