Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum mufti. Sebelum ini saya dapat tahu bahawa hukum seseorang menggunakan barangan yang tertukar dengan orang lain adalah haram dan wajib barangan tersebut dikembalikan kepada pemilik asal. Persoalan saya mufti, bagaimana pula jika saya menggunakan barangan yang saya tertukar dengan orang lain tersebut untuk melakukan pekerjaan? Adakah ianya menyebabkan gaji/upah yang saya terima hasil dari menggunakan barangan milik orang lain tersebut menjadi haram? Contoh situasi adalah saya tertukar beg untuk mengangkut makanan/barangan dengan pekerja yang lain dan saya mengetahui yang beg tersebut bukanlah milik saya. Adakah upah yang saya terima hasil menggunakan beg tersebut dikira haram? Walaupun pekerjaan saya pada asasnya adalah halal? Mohon penjelasan nya mufti. Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المريلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Berdasarkan kepada situasi diceritakan pihak tuan, sememangnya Islam adalah agama yang sangat menjaga hak setiap makhluk apatah lagi hak sesama manusia. Menggunakan barang atau sesuatu yang bukan milik kita adalah sesuatu yang diharamkan melainkan ia mendapat keizinan dari pemilik harta tersebut. Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188:
Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.
Kaedah Fiqh ada menjelaskan
Maksudnya: Tidak boleh seseorang memanfaatkan sesuatu milik orang lain tanpa izinnya.
Tuan sudah mengetahui beg tersebut bukanlah milik tuan dan seharusnya ia dipulangkan kepada pemilik yang sah dengan kadar segera. Perbuatan tuan itu tidak memberi kesan kepada status pekerjaan tuan sehingga jatuh haram dan sebagainya. Akan tetapi ia akan mempengaruhi keberkatan upah yang diterima. Ini kerana tuan mengambil hak orang lain dengan tidak memulangkan beg tersebut. Minta maaf dan mohon pemilik tersebut menghalalkan atau memaafkan perbuatan tersebut.
والله أعلم بالصواب