BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Kejadian ini berlaku beberapa bulan yang lalu. Ketika saya sedang berteduh daripada hujan lebat, ada anjing tiba-tiba datang berteduh berhampiran (tidak terlalu dekat dengan saya) dan mengibaskan badannya. Waktu itu kebetulan ada angin kuat. Saya terasa seperti kena percikan tapi tak pasti percikan air hujan dari angin kuat atau dari anjing itu. Saya bergerak menjauhi anjing tersebut dan setelah beberapa minit baru tengok keadaan baju. Tapi tiada apa-apa kesan percikan / basah dan tiada bau pelik. Jadi saya anggap baju ini tidak bernajis dan basuh seperti biasa dalam mesin basuh bersama baju yang lain. Soalan saya, adakah percikan air dari anjing dikira najis? Betulkah tindakan saya membasuh baju tersebut seperti biasa sebab tiada bau dan saya tak nampak ada kesan basah selepas itu? Mohon pencerahan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapat najis sama ada dari segi ain, warna atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila ia jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. 

Oleh itu, merujuk kepada persoalan puan;

1. Percikan air secara langsung dari anjing itu adalah bernajis dan perlu dibasuh dan disucikan dengan cara sertu. Namun, jika najis sekadar andaian atau sangkaan sahaja, maka ia kembali kepada kaedah fiqah yang menyatakan: 

الأصل في الأشياء الطهارة

Maksudnya: Hukum asal segala sesuatu adalah suci. Ini kerana pada asalnya, hukum setiap sesuatu itu adalah suci sehingga terbukti adanya najis dengan kehadiran salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna.

2. Betul tindakan puan yang membasuh baju tersebut seperti biasa dengan menggunakan mesin basuh kerana tiada kesan wujudnya najis pada baju tersebut. Ini kerana berpegang kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu seperti bau, rasa dan warnanya, maka tiada najis pada baju puan. Namun, jika jelas kelihatan terdapatnya najis, maka najis tersebut perlu dibersihkan dahulu sehingga hilangnya bau, rasa dan warnanya dengan disertu baju tersebut dan seterusnya boleh dimasukkan ke dalam mesin basuh dan dibasuh bersama pakaian yang lain.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 222

message user image