BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz. Saya ingin bertanya tentang pandangan Islam dalam mendalami atau meneruskan pelajaran dalam bidang Sains yang merupakan Fardhu Kifayah. Adakah perlu untuk kita lebih mendalami ilmu Sains ke tahap Masters/P.H.D ?

Saya bekerja sebagai seorang doktor hampir 7 tahun. Masih tidak terbuka hati saya sepenuhnya untuk melanjutkan ilmu kepakaran perubatan kerana bagi saya, saya masih keliru sama ada adakah ia masih satu Fardhu Kifayah dari sudut agama atau lebih baik saya mendalami ilmu lain yang lebih berkait rapat dengan Islam.

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Persoalan tuan untuk meneruskan pelajaran dalam bidang Sains terutamanya di dalam bidang Sains Perubatan ke tahap yang lebih tinggi sangatlah digalakkan kerana ilmu Allah bersifat luas dan menyeluruh mencakupi pelbagai bidang. Selain itu, pembelajaran tentang Sains Perubatan sangat berkait dengan kekuasaan ciptaan Allah yang secara tidak langsung mendekatkan individu yang menuntut ilmu Sains Perubatan kepada Allah dan agama Islam. Bahkan dengan kepakaran dan pengalaman tuan sebagai doktor ditambah dengan keilmuan Sains Perubatan dapat dimanfaatkan untuk menaikkan martabat Islam serta menjadi nilai tambah apabila bidang tuan dihayati dengan nilai keagamaan yang sangat membantu ramai masyarakat.  

Perkara ini bertepatan dengan konsep ilmu fardhu kifayah iaitu semua disiplin ilmu yang diperlukan untuk menyempurnakan keperluan hidup manusia sama ada yang berbentuk keagamaan atau keduniaan. Justeru itu, mendalami ilmu fardhu kifayah adalah digalakkan agar dengan ilmu dan kepakaran tersebut dapat dimanfaatkan dan membantu lebih ramai orang.

Hadis yang diriwayatkan daripada Jabir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

«خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ»

Maksudnya: Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia. (Musnad Al-Syihab)

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 197

message user image