Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam saya nak tanya tentang konsep solat jamak dan qasar.. Saya seorang pelajar dan rumah saya jauh drpd ipt saya jadi soalannya kalau saya keluar dari bilik nak menuju ke destinasi saya dah boleh kan tunai solat jamak dan qasar walaupun perjalanan saya tu hanya utk beberapa jam atau sehari sahaja. Atau hukum dia mcm mana sbb sy ada keraguan tentang persoalan ini. Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.
Merujuk kepada persoalan, ingin kami jelaskan bahawa terdapat beberapa syarat yang mengharuskan solat jamak dan qasar bagi musafir, iaitu:
1. Perjalanan yang jaraknya melebihi 2 marhalah iaitu 81 kilometer atau lebih. Oleh itu, perjalanan yang jaraknya kurang dari 2 marhalah tidak diharuskan untuk solat jamak dan qasar. Diharuskan melakukan solat jamak dan qasar di sepanjang perjalanan menuju ke destinasi tersebut selepas keluar dari kawasan kampung atau kariah tempat yang dia tinggal.
2. Apabila sampai di destinasi, seseorang itu boleh terus melakukan solat jamak dan qasar selama berada di situ sekiranya dia berniat untuk tinggal tidak melebihi 3 hari, tidak termasuk hari ketibaan dan hari keluar dari tempat tersebut. Seandainya dia berniat untuk tinggal selama 4 hari atau lebih, tidak termasuk hari ketibaan dan hari keluar, maka dia tidak diharuskan untuk melakukan solat jamak dan qasar sebaik sahaja tiba di tempat itu.
3.Perjalanan yang diharuskan. Oleh itu, perjalanan untuk tujuan melakukan kemaksiatan atau kemungkaran tidak diharuskan melakukan solat jamak dan qasar
Maka, seseorang yang bermusafir adalah dibenarkan untuk solat secara jamak dan qasar sekiranya pelaksanaan ibadah tersebut berpandukan syarat-syarat yang telah disebutkan di atas.
والله أعلم بالصواب