BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Saya ingin bertanya berkaitan hukum penggunaan duit kutipan tabung masjid untuk program program masyarakat setempat seperti berikut:

1. Saguhati duit untuk ahli kariah yang sakit dan uzur sama ada yang Muslim atau bukan Muslim.

2. Program gerobok rezeki dengan memberi bantuan makanan asas untuk ahli kariah yang memerlukan.

3. Program menyantuni masyarakat kampung di warung dan kedai makan dengan membelanja ahli kariah selepas solat subuh/kuliah subuh.

Terima kasih atas perhatian pihak jabatan mufti


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته        

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Secara umumnya, penggunaan wang kutipan tabung masjid atau surau bergantung kepada tujuan atau niat asal tabung itu diwujudkan. Seandainya tabung itu bersifat khusus seperti tabung Pembinaan Masjid, maka hasil kutipan wang tabung tersebut hanya boleh digunakan bagi tujuan perkara-perkara berkaitan dengan pembinaan masjid sahaja sesuai dengan tujuan tabung itu diwujudkan. Sebaliknya, seandainya tabung itu bersifat umum, maka hasil kutipan wang tabung tersebut boleh digunakan di dalam apa-apa aktiviti yang bermanfaat demi kebaikan serta kebajikan masyarakat serta agama Islam. Ini termasuk 3 program masyarakat yang tuan senaraikan di dalam soalan. Walau bagaimanapun, keutamaan perlu diberikan kepada kelestarian masjid mahupun surau agar ia dapat berfungsi dengan lebih baik dan berkesan. Sebarang keputusan perbelanjaan urusan, aktiviti serta sumbangan hendaklah mendapat persetujuan ahli jawatankuasa pengurusan masjid atau surau. Pihak pengurusan masjid atau surau hendaklah menguruskan perbelanjaan kewangan secara telus dan berhemah. Ini adalah kerana wang kutipan tabung tersebut merupakan amanah yang akan dipertanggungjawabkan.  

Sila rujuk Garis Panduan Pengurusan Kewangan Masjid dan Surau Negeri Selangor di laman berikut:

http://emasjid.jais.gov.my/uploads/pekelilings/SOP%20kewangan%20masjid.pdf

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 328

message user image