BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Pertama sekali saya ucapkan terima kasih kepada Pihak Jabatan Mufti Selangor kerana membaca dan sudi menjawab soalan saya.

Soalan saya, adakah taklik terpakai & perceraian berlaku sekiranya suami terlupa lafaz taklik dan melakukan kesalahan? 

Isteri yakin dengan lafaz taklik yang diucapkan suami dan berkeras untuk bawa perkara ni ke mahkamah, namun suami bertegas yang perkara dia lakukan tak disebut dalam lafaz taklik.

Contoh, suami lafaz taklik di hadapan isteri sekiranya suami melakukan perkara A, B, C dan D, maka kami akan bercerai. Setelah beberapa bulan, suami melakukan kesalahan A dan isteri menegur. Namun suami bertegas bahawa dia hanya melafazkan sekiranya dia melakukan kesalahan B, C dan D maka kami akan bercerai. 

Mohon pencerahan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Nabi SAW  menegas di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak)(Riwayat Abu Daud).

Hadis di atas jelas menunjukkan larangan untuk tidak bermain-main dalam tiga perkara tersebut, terutama dalam urusan yang melibatkan talak kerana ia boleh menyebabkan kepada terputusnya hubungan perkahwinan antara suami dan isteri. Suami hendaklah senantiasa berhati-hati dalam menuturkan perkataan terutama ketika berlakunya salah faham atau perselisihan faham antara pasangan, agar tidak berlaku pertikaian di kemudian hari.

Menjawab persoalan puan di atas, lafaz tersebut termasuk dalam cerai secara taklik. Taklik adalah lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan jika berlakunya perlanggaran terhadap apa yang disyaratkan itu.Taklik bermaksud: menggantungkan perceraian kepada sesuatu masa atau sesuatu perbuatan oleh suami, isteri atau orang lain, maka berlakulah penceraian. Seperti kata suami kepada isterinya: "Sekiranya aku melakukan perbuatan A, maka tercerailah engkau". Sekiranya berlaku perlanggaran pada syarat taklik tersebut iaitu suami melakukan kesalahan perbuatan A, maka berlakulah perceraian. 

Walau bagaimanapun, bila timbul pertikaian antara suami atau isteri, terutama berkaitan kesahihan lafaz taklik atau pertikaian terhadap berlaku atau tidak pelanggaran terhadap syarat taklik tersebut, maka puan dan suami hendaklah hadir ke Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan kadar segera untuk membuat pengesahan berhubung lafaz taklik dan perlanggaran syarat taklik yang mungkin berlaku. Suami perlu memberi keterangan tentang apa yang dilafazkan dan isteri pula tidak wajar berdiam diri sekiranya wujud keraguan dan pertikaian terhadap pelanggaran syarat taklik tersebut.

Oleh yang demikian, sedikit nasihat untuk kita semua, dalam melayari bahtera rumahtangga pasangan suami isteri hendaklah berusaha sedaya upaya menyemaikan rasa toleransi, selalu bermusyawarah, banyakkan bersabar serta berfikir sebelum bertindak. Toleransi, sabar, fikir dan syura (bermusyawarah) adalah ramuan yang sangat ideal bagi memastikan perjalanan rumahtangga dapat dilalui dengan penuh tertib dan harmoni. Tiada siapa yang boleh mendabik dada mengatakan rumahtangga mereka bahagia sepanjang masa, pasti akan ada ujian yang akan dilalui oleh mana-mana pasangan yang berumahtangga. Namun apa yang membezakan antara satu sama lain adalah bagaimana mereka bertindak dalam menangani ujian dan permasalahan yang berlaku itu.  

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 273

message user image