Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan mufti
Saya ingin bertanya tentang amalan meletak garam dalam sebuah bekas dan diletakkan dihadapan /luar rumah untuk mengelakkan al ain (evil aye )
Apakah pandangan tuan mufti berkaitan perkara ini
Saya sudahi persoalan saya dengan ucapan terima kasih dan assalamualaikum
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan; secara asasnya berlindung kepada Allah SWT merupakan pencegahan terbaik daripada terkena penyakit ‘ain malah daripada segala mara bahaya. Sepertimana yang ditunjukkan dan dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam hadis Ibn Abbas RAnhuma, Nabi Muhammad SAW memohon perlindungan buat al-Hasan dan al-Husin RAnhuma dengan sebuah doa, Baginda SAW bersabda:
أُعِيذُكُمَا بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ، وَمِنْ شَرِّ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّة
Maksudnya: Aku memperlindungkan kamu berdua dengan kalimat-kalimat Allah yang maha sempurna daripada syaitan, binatang berbisa dan mata yang dengki. (Riwayat al-Nasa’i, Abu Daud, Ibn Majah dan al-Tirmizi)
Selain itu, di dalam kitab Tahrir al-Tanwir, Imam Ibn Asyur ada mencatatkan bahawa Rasulullah SAW juga mengajarkan umatnya mengamalkan muawwizatain iaitu Surah al-Falaq dan Surah Al-Nas supaya terhindar daripada penghasad dan pendengki.Sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri RA berkata:
كان رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليْهِ وسلَّمَ يتعوَّذُ من عينِ الجانِّ، وعينِ الإنسِ، فلما نزلتِ المُعوِّذتانِ، أخذ بهما، وترك ما سوى
Maksudnya: Setelah turunnya muawwizatain iaitu (Surah Al-Falaq dan Surah Al-Nas) Rasulullah SAW meminta perlindungan dari pandangan buruk jin dan manusia dengan membaca kedua-dua surah ini.
(Riwayat Nasa’i)
Di samping itu, berdasarkan kepada pengamalan dan pengalaman para perawat perubatan Islam, garam juga digunakan sebagai pendinding daripada penyakit 'ain ini atau makhluk halus. Namun, perlu berhati-hati dalam meletakkan kepercayan atau i’tiqad ke atas garam yang digunakan hanya digunakan sebagai wasilah sedangkan Allah SWT sahaja yang layak memberi pelindungan dan penyembuhan.
Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin
والله أعلم بالصواب