Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya nak tanya, saya ada masalah was-was berkenaan najis. Baru-baru ini saya tidak perasan ada pakaian yang terkena muntah anak dicampurkan sekali dengan baju-baju lain dan dibasuh dalam mesin basuh. Apabila sudah kering, kelihatan tompok muntah anak itu masih melekat pada pakaian (tompok itu boleh dihilangkan apabila saya memberus menggunakan tangan dengaan kuat). Apakah hukum kepada baju-baju lain yang dicampur sekali? Adakah menjadi najis juga? Adakah mesin basuh, bakul pakain, dan ampaian pakaian juga menjadi najis? Mohon pencerahan. Saya sangat terganggu dengan isu ini kerana ia mengganggu ibadah saya. Saya berasa seperti semua pakaian saya sudah tidak suci kerana dibasuh dalam mesin, dilonggokkan di dalam bakul, dan disidai di ampaian yang sudah terkena baju yang ada tompokan muntah anak itu. Saya tidak mahu ianya menyebabkan saya sehingga berputus asa untuk beribadah kerana ragu-ragu dan tidak sedap hati. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, muntah anak adalah najis mutawassitah. Pakaian lain yang terkena muntah anak di dalam mesin basuh menjadi mutanajjis. Oleh itu ia hendaklah dicuci sehingga hilang warna, bau dan rasa. Pakaian yang terkena najis tidak boleh digunakan untuk solat. Sebelum membasuh pakaian, hendaklah diasingkan terlebih dahulu pakaian yang bernajis dan bersihkan/ hilangkan ain najisnya sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh. Mesin basuh, bakul dan ampaian tidaklah menjadi najis sekiranya tidak nampak kesan najis padanya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.