Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Sy mmpunyai anak yg Masih pakai pampers (3thn lelaki).selepas turun Dari kereta (ank duduk sendirian Di seat kereta) Dan bermain Di Ruang tamu lbh kurang 5-10 mnt.sy perhatikan seluarnya basah kemungkinan pampers bocor semasa mahu dibawa mandi Dan sy yakin itu adalah air kencing kerana bau hancing apabila hidu seluarnya tetapi diruang tamu atau lantai langsung tiada bau,warna Dan Rasa.
Sy telah mengalirkan air Di lantai ruang tamu tetapi bagaimana dengan seat kereta.sy mmg tidak tahu bocor samada semasa bermain dalam rumah selepas turun Dari kereta atau dalam kereta lagi sudah bocor .
Was was dtg mengatakan air kencing terkena seat kereta.sebelum ini sy pernah mengalami (keadaan tidak pasti juga air kencing terkena atau tidak Di seat kereta) tetapi sy mengambil pendekatan mengalirkan air diseat kereta Dan kesannya kereta berbau kepam Dan memerlukan full cleaning service Dari luar.
Apa yg sy harus lakukan terhadap seat kereta itu padahal realitinya sy sendiri tidak tahu bocor samada dlm kereta atau dalam rumah.sy sehingga menangis takutkan solat sy tidak diterima apabila pakaian duduk dlm kereta Dan dibawa solat
Sekian terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Permasaalahan ragu-ragu sama ada terdapat air kencing terkena pada seat kereta atau lantai rumah, terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Said bin Musayyab bahawa terdapat seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW yang dia ragu-ragu sama ada keluar sesuatu (terkentut) atau tidak ketika solat, lalu Baginda SAW bersabda:
«لاَ يَنْفَتِلْ - أَوْ لاَ يَنْصَرِفْ - حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا»
Bermaksud: Janganlah kamu berpindah – atau pergi – sehingga kamu mendengar bunyi atau mencium bau (kentut). (Riwayat Al-Bukhari).
Begitu juga dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«إِذَا وَجَدَ أَحَدُكُمْ فِي بَطْنِهِ شَيْئًا، فَأَشْكَلَ عَلَيْهِ أَخَرَجَ مِنْهُ شَيْءٌ أَمْ لَا، فَلَا يَخْرُجَنَّ مِنَ الْمَسْجِدِ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا، أَوْ يَجِدَ رِيحًا»
Bermaksud: Apabila seseorang di antara kamu merasakan sesuatu dalam perutnya kemudian dia ragu-ragu apakah dia mengeluarkan sesuatu (kentut) atau tidak maka janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid kecuali ia mendengar suara atau mencium baunya. (Riwayat Muslim).
Dari dua hadis di atas, menunjukkan bahawa ragu-ragu atau syak tidak boleh dijadikan sandaran hukum. Ini dikukuhkan dengan firman Allah SWT di dalam surah Yunus: 36:
إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا
Maksudnya: Sesungguhnya zhan (sangkaan) tidak dapat menandingi/mengatasi kebenaran walau sedikit pun.
Ini dikuatkan dengan kaedah Fiqh yang berbunyi:
الْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ
Bermaksud: Pada asasnya, (hukum) sesuatu itu kekal mengikut keadaan (hukum) asalnya.
Hukum asal sesuatu itu adalah suci, maka ia akan terus kekal suci. Manakala najis itu sifat atau keadaan yang mendatang, maka ia perlu dibuktikan dengan keyakinan, dan bukan ragu-ragu. Perasaan tidak yakin atas sesuatu itu merupakan penyakit was-was pada diri yang perlu dielakkan dan dijauhi bagi menggelakkan permasalahan yang lebih berat pada masa akan datang. Perasaan was-was ini adalah gangguan dari syaitan. Para ulama’ amat mengambil berat mengenai penyakit ini kerana jika dibiarkan berlarutan boleh menjadi sesuatu yang lebih kronik kerana ianya penyakit yang berkaitan dengan jantung hati.
Berdoalah kepada Allah SWT semoga kita dijauhi dari penyakit was-was ini.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, puan telah meyakini bahawa tiada sebarang kesan najis air kencing anak sama ada pada lantai rumah ataupun seat kereta puan. Oleh itu, berdasarkan kepada hadis serta ayat al-Quran di atas, maka lantai dan juga seat kereta puan tersebut kekal bersih dan suci daripada najis atas keyakinan puan. Ini adalah kerana asal sesuatu itu adalah suci, sehingga kita yakin adanya najis.
Hanya sekiranya DIYAKINI terdapat najis pada lantai tersebut berdasarkan kepada ain, bau, warna dan juga rasanya, maka ia perlu dibersihkan terlebih dahulu najisnya dan disucikan dengan dialirkan air mutlak pada tempat yang terkena najis lalu dikeringkan dengan kain atau mop. Adalah disarankan agar menggunakan kain yang berlainan semasa proses membasuh najis tersebut dan semasa mengeringkan lantai kerana dikhuatiri kain yang digunakan semasa membasuh najis tersebut menanggung najis dan mengakibatkan lantai tersebut kekal bernajis.
Bagi mensucikan najis pada seat kereta, bagi mengelakkan kerosakan, adalah disarankan agar bersihkan dahulu ain najis tersebut dengan menggunakan wet tissue hingga hilang kesan ain najis, bau, warna dan rasa. Ketika ini seat kereta itu bersih tapi belum suci. Untuk mensucikannya gunakan spray yang mengandungi air mutlak ke seat yang terkena najis tadi sehingga kelihatan air itu mengalir, lalu keringkannya dengan menggunakan kain yang kering.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.