Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Apakah hukumnya seorang janda bermalam di rumah duda pada hujung minggu. Janda tersebut datang membawa bersama 2 org anak lelakinya berusia16 & 20 tahun.Duda pula mempunyai 4 orang anak perempuan berusia 7 hingga 16 tahun.Janda tersebut menggunakan alasan kasihan dan ingin memberi kasih sayang pada anak duda tersebut yg telah kematian isteri.Janda tersebut memasak ,makan menonton dan melakukan aktiviti lain bersama anak2.Pasangan tersebut mendakwa tidak pernah melakukan hubungan seksual kerana janda tersebut tidur bersama anak lelaki tersebut.Mohon pencerahan.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Menurut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, di bawah Seksyen 29 berkaitan dengan khalwat.
(1) Mana-mana:-
(a) orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya;
(b) orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya,di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Berdasarkan kenyataan yang diberikan, didapati bahawa tindakan janda dan duda tersebut boleh menimbulkan syak berlakunya perbuatan yang tidak bermoral apabila mereka bermalam bersama di dalam sebuah rumah tanpa ada perkara yang mendesak atau dharurah. Apatah lagi apabila janda tersebut turut membawa 2 anak lelakinya yang dewasa dan terdapat pula di rumah tersebut 4 orang anak perempuan duda itu yang dewasa. Ini secara tidak langsung membuka ruang berlakunya percampuran antara bukan mahram di dalam rumah itu.
Harus disedari bahawa adalah menjadi kewajipan kepada setiap orang Islam yang beriman mengelakkan dirinya daripada terjerumus dalam ruang-ruang fitnah dan keaiban yang boleh membawa berlakunya kemaksiatan dan dosa terhadap Allah SWT.
والله أعلم بالصواب