BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt & Salam Sejahtera,

Ada pertanyaan yang mahu saya sampaikan dan mohon pencerahan daripada pihak tuan/puan.

Keluarga kami sering menganjurkan makan malam Hari Keluarga di sesebuah hotel. Jawatankuasa keluarga dibentuk bagi memudahkan urusan penyediaan & pendaftran bagi setiap aktiviti yang berkaitan termasuk makan malam.

Pihak jawatankuasa keluarga telah menetapkan untuk mengenakan caj tambahan bagi setiap pembayaran makan malam dengan tujuan untuk memasukkan duit lebihan tersebut ke dalam tabung keluarga, tanpa pengetahuan ahli keluarga lain yang hadir. Sebagai contoh :

Caj oleh pihak hotel : RM60

Caj yang diminta oleh jawatankuasa kepada ahli keluarga  : RM65 (tanpa memberitahu kepada ahli keluarga yang lain berkenaan lebihan dan tujuan RM5)

Kebiasaanya, lebihan yang terkumpul itu digunakan untuk keperluan tambahan majlis, seperti duit membeli doorgift, menyediakan minuman ringan, perbelanjaan saguhati untuk jawatankuasa yang bertungkus lumus menjayakan program.

Ahli keluarga yang lain, kemungkinan memang percaya dan yakin yang RM65 yang dibayar itu adalah untuk bayaran makan malam itu semata.


Apa yang menjadi kemusykilan atau kesangsian saya, apakah hukum mengambil wang daripada orang lain (tanpa memberitahu tujuan) untuk perbelanjaan lain yang boleh jadi untuk kesenangan bersama.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Sebagaimana yang dinyatakan, setiap transaksi pembayaran dan penggunaannya hendaklah dinyatakan secara jelas. Ini kerana bagi mengelakkan sebarang perselisihan faham mahupun penyelewengan dana yang telah disumbangkan oleh ahli keluarga.

Sekiranya terdapat lebihan dari sumbangan dana yang dikutip ju ga adalah tidak dibenarkan digunakan sewenang-wenangnya tanpa dimaklumkan kepada penyumbang. Melainkan telah mendapat persetujuan terlebih dahulu bagi kegunaan lebihan duit tersebut dari kalangan yang menyumbang, maka ia dibenarkan. Sekiranya tiada persetujuan, jika tujuan asal kutipan dana untuk makan malam, sebaiknya ia digunakan untuk tujuan itu sahaja atau meminta pandangan para penyumbang terlebih dahulu sebelum apa-apa perancangan dibuat terhadap lebihan wang tersebut. Adalah disarankan untuk membuat perjanjian awal penggunaan wang lebihan sekiranya ada.  

Ini adalah bagi mengelakkan daripada mengambil atau menggunakan harta orang lain secara batil atau salah sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188:

وَلَا تَأكُلُوا أَموَٰلَكُم بَينَكُم بِالبَـٰطِلِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 153

message user image