BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, 

Soalan saya berkenaan solat jamak qasar. 

 

Situasi saya adalah, saya telah bermastautin di Miri Sarawak, dan kini akan menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Kuantan Pahang. Tetapi pada tahun pertama pengajian saya, saya ditempatkan di Alor Setar Kedah. Rumah ibubapa saya adalah di Cyberjaya Selangor. Suami saya masih di Miri Sarawak.

 

- saya akan kembali ke Cyberjaya Selangor daripada Miri Sarawak pada 19 December 2022 Isnin. 

- saya akan ke Alor Setar Kedah untuk urusan sewa rumah pada 23 December 2022 Jumaat.

- tetapi saya perlu kembali ke Cyberjaya Selangor pada 26 December 2022 Isnin untuk urusan kereta.

- pada 29 December 2022 pula, saya perlu ke UIA Kuantan Pahang, daripada Cyberjaya Selangor untuk pendaftaran universiti.

- dan saya akan pulang ke Cyberjaya Selangor pada 2 Januari 2023 Isnin

- dan akhirnya pada 3 Januari 2023 Selasa, akan pergi ke Alor Setar Kedah untuk pengajian saya di sana selama setahun

 

Soalan saya adalah

1) Adakah saya boleh solat jamak di rumah keluarga Cyberjaya Selangor 19 December - 23 December?

- Kerana saya keliru apakah maksud bermukim, menempat di sesuatu tempat melebihi 3 hari tidak termasuk hari perjalanan pergi dan pulang. Mengikut kefahaman saya dari keterangan ini adalah saya masih boleh jamak kerana belum cukup hari untuk dikira bermukim. 19 December hari perjalanan pergi, 20-22 sebanyak 3 hari, dan 23 December hari perjalanan pulang. Adakah benar?

 

2) Adakah rumah keluarga (ibubapa) dikira sebagai tempat tinggal? Walaupun saya tidak tinggal di ruman ini sepenuhnya. Dan sekiranya saya pergi ke rumah keluarga ini, adakah saya tidak boleh jamak? 

 

3) Setibanya saya di Alor Setar Kedah pada 23 December hingga 26 December untuk urusan sewa rumah, adakah saya masih boleh jamak kerana saya masih berurusan dan masih dalam musafir? Atau saya sudah dikira bermastautin kerana sudah ada niat untuk menetap di Alor Setar Kedah?

 

Sekian soalan saya.

 

Terima kasih atas masa yang diluangkan untuk menjawab persoalan saya.

Assalamualaikum.


message user image

Jawapan  

 

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Solat jamak dan qasar adalah merupakan keringanan (rukhsah) yang diberikan oleh Allah SWT bagi mereka yang bermusafir agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan di dalam firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa' ayat 101:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِى ٱلْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا۟ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ

Maksudnya: Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang.

Merujuk kepada persoalan puan, untuk menentukan sama ada seseorang boleh melaksanakan solat jamak dan qasar perlulah dilihat kepada niat dan keadaan seseorang samada ia bermukim atau bermustautin. Mustautin adalah seseorang  yang tinggal menetap di suatu tempat dan tidak berhasrat untuk berpindah ke tempat lain. Manakala  Bermukim adalah seseorang orang yang bermusafir dan tinggal di suatu tempat lebih daripada tiga hari tidak termasuk hari tiba dan hari pulang melebihi 2 Marhalah (81 KM ) dan tidak berniat untuk kekal selama-lamanya di situ.  Seseorang boleh berkeadaan bermukim atas faktor kerjaya, belajar, kursus di sesuatu tempat.

Berdasarkan kepada persoalan puan, dapat kami simpulkan bahawa 

1. Puan boleh solat jamak dan qasar di rumah keluarga di Cyberjaya kerana puan telah bermastautin di Miri dan bukan di Cyberjaya.

Kenyataan puan tentang boleh melakukan jamak dan qasar di Cyberjaya pada 19 hingga 23 Disember adalah benar kerana ia memenuhi syarat sebagaimana yang dinyatakan di atas.

2. Seandainya puan telah bermastautin di tempat lain dan tidak berniat untuk kembali menetap di rumah keluarga, puan dibenarkan untuk solat dan jamak sekiranya memenuhi syarat jarak bermusafir melebihi 2 marhalah (81km) dan menginap tidak melebihi tempoh yang diberikan iaitu tidak melebihi 3 hari tidak termasuk hari tiba dan hari keluar.

Seandainya puan mempunyai niat untuk kembali menetap di rumah keluarga, seperti seorang pelajar yang tinggal di asrama di universiti untuk tempoh 4 tahun sebagai contoh dan dia berniat untuk kembali menetap di rumah ibu bapanya selepas habis tempoh pengajian, maka pelajar tersebut tidak boleh melakukan solat jamak dan qasar apabila tiba di rumah ibu bapanya.

3. Puan tidak boleh lagi melakukan solat jamak dan qasar setibanya di Alor Setar pada 23hb kerana telah berniat untuk tinggal di situ selama setahun. Dalam keadaan ini puan hanya boleh menunaikan solat jamak dan qasar  ketika perjalanan pergi dan balik sebelum sampai ke destinasi.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2022
Jumlah Pelawat : 274

message user image