Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Soalan saya adalah apakah hukum apabila seorang melayu yang menjadi 'proxy' menggunakan namanya untuk membeli tanah rizab melayu untuk diusahakan bersama dengan bangsa bukan melayu.
Sekian terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Sebagaimana yang terkandung dalam Enakmen Rizab Melayu, objektif diwujudkan Rizab Melayu adalah untuk:
1. Menyekat tanah kerajaan di dalam kawasan Rizab Melayu daripada dilupuskan dengan apa cara juapun kepada bukan Melayu.
2. Menyekat tanah Pegangan Melayu atau tanah Rizab Melayu daripada dibuat apa-apa urusniaga persendirian (private dealings) di antara Melayu dan bukan Melayu.
Jelas dalam Enakmen yang dinyatakan, Rizab Melayu adalah untuk orang Melayu dan suatu pengkhianatan sekiranya bersekongkol serta bersubahat bagi melanggar peraturan sedia ada yang telah dimuktamatkan. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Al-Maidah ayat 2:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).
Sebagai seorang Islam, tidak sepatutnya kita dipergunakan oleh sesuatu yang melanggar kepada peraturan negara hanya demi mengaut keuntungan yang akan merugikan bangsa dan agama. Dalam hal ini, sememangnya berdosa dan perlu bertaubat.
والله أعلم بالصواب