Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya, apa hukum seseorang menggunakan harta kerajaan untuk diri sendiri dan berniaga. Contohnya seseorang membuat kek menggunakan harta kerajaan sewaktu bertugas untuk dimakan sekeluarga dan juga untuk dijual.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Berdasarkan kepada situasi diceritakan pihak tuan, sememangnya Islam adalah agama yang sangat menjaga kesucian pendapatan yang diperolehi kerana ia akan menjadi darah daging serta akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Menggunakan barang atau sesuatu yang bukan milik kita adalah sesuatu yang diharamkan melainkan ia mendapat keizinan dari pemilik harta tersebut. Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188:
وَلَا تَأكُلُوا أَموَٰلَكُم بَينَكُم بِالبَـٰطِلِ
Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.
Kaedah Fiqh ada menjelaskan:
لا يجوز لأحد أن يتصرف في ملك الغير بلا إذن
Maksudnya: Tidak boleh seseorang memanfaatkan sesuatu milik orang lain tanpa izin.
Oleh yang demikian, kami menyarankan kepada pihak tuan memaklumkan secara terus kepada majikan bahawa telah menggunakan harta kerajaan bagi kepentingan peribadi dan sekiranya pihak majikan mengenakan apa-apa penalti atau sebagainya perlu dilunaskan sebaiknya. Diharapkan tuan bertaubat dan tidak mengulangi perkara ini.
والله أعلم بالصواب