BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, ustaz. Biasanya kalau ada orang buat salah pada kita, kita kena maafkan. Begitu juga kalau saya buat salah. Tapi kalau orang itu buat salah pada saya dan dia tak minta maaf, salah ke saya kalau saya tak maafkan dia? Berdosakah saya? Walaupun ada yang cakap Nabi Muhammad SAW pun maafkan orang yang buat macam-macam fitnah, saya tidak ada hak ke untuk tak maafkan orang lain? Kalau dia minta maaf, Insyaallah saya akan cuba tenangkan hati dan maafkan dia. Tapi, dia tak minta maaf. Malah, dia mencarut dan anggap saya ni kebudak-budakan kononnya saya acah-acah tak nak maafkan orang lain. Dia siap bagitau kawan-kawan lagi yang saya mudah koyak. Salah ke saya kalau tak maafkan dia? Itu saja soalan saya, harap Ustaz boleh terangkan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Terima kasih kepada tuan atas pertanyaan yang diajukan. Islam selalu menganjurkan agar umatnya sentiasa mewujudkan sifat ukhuwah islamiyah (persaudaraan sesama Islam). Berdasarkan firman Allah di dalam surah al-Hujurat ayat 10:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ

Maksudnya: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu.

Bahkan Allah ingatkan, di antara nikmat besar yang Allah berikan kepada para Sahabat Baginda SAW adalah, Allah jadikan mereka saling mengasihi, saling mencintai, walaupun sebelum memeluk Islam mereka saling bermusuhan, seperti mana firman-Nya di dalam surah Ali-Imran ayat 103:

وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا

Maksudnya: Dan Ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.

Rasulullah SAW juga menggambarkan hubungan persaudaraan antara sesama Islam, ibarat satu jasad. Jika ada yang sakit, yang lain turut merasakannya. Al-Nu'man bin Basyir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِيْ تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اثْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمى

Maksudnya: Perumpamaan bagi orang beriman dalam kecintaan dan kasih sayang mereka adalah bagaikan satu jasad, apabila satu anggota tubuh sakit maka seluruh badan akan susah tidur dan terasa panas. (Riwayat Muslim).

Oleh sebab itu, Rasulullah SAW melarang ummatnya memulau orang Islam yang lain tidak lebih dari 3 hari. Abu Ayyub Al-Ansari meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ

Maksudnya: Tidak halal bagi seorang muslim untuk memulau (tidak menyapa) saudaranya lebih dari 3 hari. (Riwayat Al-Bukhari & Muslim).

Oleh kerana itu, tidak memaafkan kesalahan sesama muslim sementara yang bersalah sudah berusaha untuk minta maaf atau pun tidak berusaha untuk mintak maaf, diancam amalannya tidak akan diterima.

Daripada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, 

تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ، وَيَوْمَ الْخَمِيسِ، فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لَا يُشْرِكُ بِاللهِ شَيْئًا، إِلَّا رَجُلًا كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ، فَيُقَالُ: أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا

Maksudnya: Pintu-pintu syurga akan dibuka setiap hari Isnin dan Khamis. Lalu diampuni seluruh hamba yang tidak berbuat syirik (menyekutukan) Allah dengan sesuatu apapun. Kecuali orang yang sedang ada permusuhan dengan orang Islam yang lain. Dikatakan: Tunda amalan dua orang ini, sehingga kedua-duanya berdamai… tunda amalan dua orang ini, sehingga kedua-duanya berdamai… tunda amalan dua orang ini, sehingga kedua-duanya berdamai (Riwayat Ahmad & Muslim).

Namun, apabila seseorang muslim sudah berusaha untuk memperbaiki hubungan dengan sesama muslim yang lain semampu mungkin, tetapi orang yang tidak mahu memaafkan atau meminta maaf, dia tidak termasuk di antara yang mendapat ancaman ditangguhkan pengampunannya.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 399

message user image