Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz dan ustazah.
Saya ingin bertanya bagaimana hubungan saya dengan bapa tiri suami yang telah pun bercerai dengan ibu mentua saya.Sekiranya bapa tiri saya tinggal bersama di rumah saya.bagaimana aurat saya dengan bapa tiri suami.mohon pencerahan.terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Bagi menjelaskan persoalan puan, sebagai makluman puan, menantu yang dikira sebagai mahram mu’abbad atau haram selama-lamanya sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an itu ialah isteri dari anak kandung, bukan isteri dari anak tiri, firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat 23:
Maksudnya: Dan haram kamu berkahwin dengan bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu termasuk isteri cucu.
Syeikh al-Khathib asy-Syarbini menyatakan dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj bahawa isteri daripada anak angkat samalah juga dengan isteri anak tiri tidaklah termasuk kategori mahram, dan tidak haram mengahwininya selepas dia bercerai dengan suaminya. Berdasarkan penjelasan itu jelaslah bahawa mertua tiri dan menantu tiri tidaklah ada ikatan mahram dan hubungan antara keduanya adalah seperti hubungan bersama dengan orang asing.
Berdasarkan keterangan di atas, maka puan dan ayah mertua tiri puan adalah ajnabi sama seperti orang lain yang tiada ikatan kekeluargaan. Maka auratnya adalah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua-dua tangan sama seperti apabila keluar dari rumah. Oleh itu puan dan mertua tiri hendaklah menjaga etika pergaulan sepertimana yang digariskan oleh syarak iaitu antaranya:
a) Menutup aurat:
Menutup aurat kepada selain mahram hukumnya adalah wajib. Kewajipan menutup aurat kepada selain mahram itu jelas disebutkan dalam al-Quran dan hadis. Dari itu, antara mertua tiri dengan menantu tiri tidak ada hubungan mahram, maka mereka tidaklah boleh mendedahkan aurat antara mereka.
b) Tidak berdua-duaan atau berkhalwat:
Larangan ini jelas disebutkan dalam sebuah hadis daripada Ibnu ‘Abbas RA bahawa dia pernah mendengar Rasulullah SAW berkhutbah:
لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ
Maksudnya: Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya. (Riwayat Muslim)
c) Tidak bersentuhan:
Ancaman bersentuhan dengan perempuan asing ini ada disebutkan dalam sebuah hadis daripada Ma‘qil bin Yasar RA bahawa Nabi SAW bersabda:
أَنْ يُطْعِنَ فِي رَأْسِ رَجُلٍ بِمِخْيَطِ مِنْ حَدِيْدٍ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنَْ يَمُسَّ امْرَأَةً لاَ تَحِلُّ لَهُ
Maksudnya: Adalah lebih baik seseorang di antara kamu dicucuk kepalanya dengan jarum dari besi daripada menyentuh perempuan yang tidak halal untuknya. (Riwayat At-Thabrani dan Al-Baihaqi)
والله أعلم بالصواب