Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya nak bertanya apa hukum sekiranya pihak pasangan lelaki dan perempuan bersetuju untuk berkongsi mas kahwin contohnya seutas rantai tangan. Sefahaman saya mas kahwin adalah hak isteri, sah ke akad nikahnya?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Mas kahwin atau mahar adalah hak isteri apabila sempurna akad serta syarat-syaratnya. Jika mas kahwin itu dikongsi bersama, maka yang datang dari bakal isteri itu boleh dianggap sebagai hibah dari beliau atau boleh juga dianggap sebagai hutang kepada bakal suami berdasarkan kepada niat dan persetujuan bersama. JIka bakal isteri mengatakan bahawa ia adalah hutang, maka ia perlu dibayar semula.
Apa-apa yang membabitkan maskahwin ia tidak akan menjejaskan sah atau tidaknya perkahwinan tersebut jika akad perkahwinan itu dilaksanakan dengan memenuhi rukun dan syarat-syaratnya. Mas kahwin bukanlah menjadi rukun dan syarat sahnya suatu perkahwinan, akan tetapi ia adalah kesan dari akad. Apabila sempurna akad, maka mas kahwin menjadi milik isteri dan dikira hutang yang tertanggung atas suami sekiranya tidak ditunaikan.
والله أعلم بالصواب