Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Pada pertengahan bulan 8 2022 saya telah menjumpai duit tunai,Dan selepas beberapa hari saya telah buat iklan di media sosial mengenai sesiapa yang ade kehilangan duit.Sehingga hari ini tiada balasan dari siapa siapa mengenai kehilangan duit dan tiada sesiapa yang komen di iklan saya.
Soalan saya,Boleh kan duit itu digunakan Dan apakah hukum nya menggunakan duit yang di jumpai?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Harta Luqatah adalah harta yang ditemui di suatu kawasan yang tidak dimiliki, tidak dijaga, dan penemu tidak mengenali pemiliknya. Antara jenis harta luqatah adalah barangan, wang tunai dan haiwan. Sebagaimana hadis berkaitan harta luqatah, daripada Zaid bin Khalid RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
Bermaksud: Kenalilah ikatan atau bungkusannya, kemudian umumkan selama setahun, jika kamu tidak kenali pemiliknya, gunalah ia dan jadikan nilainya sebagai simpanan kamu. Jika pemiliknya datang menuntutnya pada bila-bila masa, hendaklah kamu serahkan kepadanya. (Riwayat Muslim)
Merujuk pada persoalan saudara, harus mengambil wang yang ditemui dengan syarat penemu seorang yang beramanah dan mampu menjaganya serta memulangkan semula wang yang dijumpai sekiranya dituntut oleh pemiliknya. Walau bagaimanapun, haram mengambil wang yang ditemui itu bagi orang yang tidak beramanah dan tidak dapat menjaganya. Jika penemu menggunakan wang tersebut, ia di anggap sebagai hutang yang wajib dipulangkan apabila pemilik wang tersebut dijumpai.
Sebaiknya, mana-mana orang Islam yang menemui harta atau wang luqatah hendaklah menyerahkan harta yang dijumpai ke Bahagian Harta Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor atau Baitulmal Daerah di Pejabat Agama Islam Daerah yang terdekat. Penemu boleh menyerah wang tunai yang dijumpai secara atas talian berserta maklumat yang diperlukan melalui e-MAIS di http://fpx.mais.gov.my/epay/luqatah.php
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.